MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) bersedia menjadi penyembuh kekecewaan rakyat Malaysia yang masih menanti kilauan emas pertama negara dari Sukan Olimpik Paris apabila kini tiba giliran atlet para menggalas cabaran negara di Sukan Paralimpik Paris 2024.
Presiden MPM Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin optimis bahawa kontinjen negara mampu mencapai sasaran empat pingat emas di Paris 2024, sekali gus melengkapkan jumlah keseluruhan 10 emas yang telah diraih Malaysia sepanjang penyertaan dalam temasya berprestij itu.
“MPM berserta 25 persatuan gabungan kami amat menyokong penuh dan yakin dengan barisan atlet ke Paris nanti. Atlet pun sangat fokus dan pada masa sama saya nak mereka berjuang berhabis-habisan.
“Akauntabiliti kita akan terus dapatkan emas dengan cara apa sekali pun. Jika boleh kita akan ubati hati rakyat Malaysia selepas tidak berjaya di Olimpik baru-baru ini,” katanya yang ditemui media pada majlis 10 Days Countdown menjelang Sukan Paralimpik 2024 pada Ahad.
Setakat ini, skuad paralimpik negara telah mengumpul enam pingat emas secara keseluruhan, dengan tiga daripadanya diperoleh dari Sukan Paralimpik Rio 2016 dan tiga lagi dari edisi Tokyo 2020.
Pada masa sama, Megat turut menegaskan bahawa beliau akan memastikan tiada sebarang kontroversi yang boleh mencemari perjalanan kontinjen negara di Paris, dengan sentiasa mengingatkan atlet agar mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini.
“Kami sentiasa memberi peringatan kepada atlet untuk mengelakkan sebarang insiden yang boleh menyebabkan pembatalan penyertaan semasa pertandingan. Mereka bertanggungjawab sepenuhnya atas penyertaan mereka.
“Pihak MPM juga bersedia menerima sebarang kritikan jika atlet kami gagal mencapai sasaran, kerana kritikan itu bukan perkara yang salah. Kami juga tidak pernah menutup ruang media social untuk sebarang maklum balas,” tambah Megat.
Kontinjen Paralimpik Malaysia dibarisi seramai 30 atlet mewakili lapan jenis sukan pada Sukan Paralimpik Paris akan memulakan saingan yang dijadualkan membuka tirai pada 28 Ogos ini.