SEPANYOL – Pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti meluahkan rasa kecewa dengan sikap dan komitmen pasukannya selepas juara La Liga itu hanya mampu mencatat keputusan seri 1-1 dengan Mallorca dalam perlawanan pembukaan musim 2024/25.
Rodrygo meletakkan Real di depan pada minit ke-13 di Son Moix melalui gerakan yang melibatkan bintang baharu, Kylian Mbappe, Jude Bellingham dan Vinicius Junior yang berjaya menghasilkan gol tersebut.
Bagaimanapun, mereka gagal mengekalkan kelebihan itu apabila Vedat Muriqi menyamakan kedudukan untuk Mallorca dengan tandukan pada separuh masa kedua untuk mengikat kedudukan sehingga wisel penamat.
Dalam perlawanan tersebut, Real berusaha keras mencari gol kemenangan pada saat-saat akhir, namun usaha mereka gagal malah situasi bertambah buruk apabila pemain pertahanan, Ferland Mendy dibuang padang pada masa tambahan sekali gus mengecewakan Ancelotti.
“Pada separuh masa kedua, kami kurang keseimbangan dan memberikan ruang untuk serangan balas dan hantaran silang. Kami juga perlu bertahan dengan lebih baik dan yang paling penting, lebih seimbang di atas padang.
“Hari ini kami tidak gembira. Saya tidak mahu memberi alasan. Kami hanya perlu bermain dengan lebih baik, dengan sikap yang lebih baik, tetapi kami boleh belajar banyak daripada perlawanan ini,” kata pengurus berusia 65 tahun itu.
Mbappé beraksi penuh masa 90 minit menentang Mallorca serta mencatat empat percubaan dan dua daripadanya tepat ke sasaran, tetapi gagal untuk menjaringkan gol. – AGENSI