PETALING JAYA – Lebih 430 mahasiswa dari 19 universiti awam seluruh negara berjaya dikumpulkan menerusi Persidangan Mahasiswa UMNO (PMU) 2024 yang julung kali diadakan di ibu negara, semalam.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, sebanyak lima kluster usul berjaya dikumpul dan menjadi percambahan perbincangan iaitu usul ekonomi, politik, kerjaya, kebajikan dan pendidikan.
“Kesemua usul ini telah diangkat menjadi resolusi oleh Mahasiswa UMNO untuk diserahkan kepada pucuk pimpinan parti menjelang Perhimpunan Agung UMNO pada 21 hingga 24 Ogos nanti.
“PMU sebagai medan untuk mahasiswa berkumpul, bersidang, berbincang dan berdebat mengenai isu-isu semasa melibatkan mahasiswa khususnya belia negara,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
PMU 2024 yang diketuai oleh Wan Mohammad Zuhir Wan Ghazali itu katanya, turut menjadi momentum kepada kesiapsiagaan belia menghadapi PAU 2024.
“Ia menjadi pewaris UMNO dan pemangkin kepimpinan Mahasiswa UMNO untuk terus aktif berkhidmat kepada masyarakat serta menyemarakkan anak-anak muda belajar ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.
PMU 2024 telah dirasmikan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki ketika hadir di PMU 2024 di Dewan Tun Hussein Onn Pusat Dagangan Dunia (WTC)
Dalam pada itu Zambry yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), berkata, mahasiswa perlu proaktif dengan pengisian persidangan sebagai langkah awal membentuk jati diri kepimpinan di samping ilmu untuk memimpin.
“Dalam ucapan, saya juga menyatakan bahawa UMNO merupakan medan melahirkan pemimpin. Kebanyakan ‘DNA,’ pemimpin datang daripada UMNO termasuklah pemimpin-pemimpin utama negara.
“Kekalkan warisan ini agar lebih ramai pemimpin yang bakal dilahirkan melalui Mahasiswa UMNO bermula dari sekarang untuk masa hadapan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE