fbpx

400 pelabur Forex terpedaya, kerugian cecah RM100 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hishammuddin (empat dari kiri) bersama mangsa pelaburan sindiket mata wang asing (Forex) di One City, Subang Jaya, hari ini.

SUBANG JAYA – Kira-kira 400 pelabur berputih mata selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan mata wang asing (Forex) ditawarkan sebuah syarikat mencecah kerugian sebanyak RM100 juta.

Sindiket tersebut dikesan menawarkan pulangan 2.5 peratus setiap bulan kepada mangsa bagi setiap wang pelaburan yang didepositkan terhadap syarikat yang berpangkalan di luar negara itu.

Seorang wakil mangsa pelaburan yang ingin dikenali sebagai Lee, 32, berkata, dia menyertai pelaburan tersebut hasil pujukan rakannya pada tahun 2016.

“Melihat pulangan yang konsisten, seterusnya saya bawa keluarga untuk mengikuti melabur di dalam skim pelaburan ini sehingga tahun 2022.

“Awal tahun 2023 mula tak dapat duit, mereka mula beri pelbagai alasan untuk berikan pulangan pelaburan, kerugian saya alami cecah RM1 juta,” katanya pada sidang akhbar di One City, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Lee memaklumkan pelbagai alasan diberikan termasuk memerlukan masa memindahkan akaun pelaburan mereka di Indonesia kepada sebuah ‘broker’ di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Sementara itu, Ethan, 32, mangsa pelaburan yang sama juga berkata, aktiviti penipuan yang dilakukan sindiket tersebut terbongkar selepas salah seorang dalangnya menghantar satu dokumen penting di kumpulan WhatsApp yang salah.

“Maklumat ini kami peroleh dari salah seorang pekerja di syarikat itu. Dokumen itu memaparkan peratusan pembahagian wang antara tiga dalang utama yang mengoperasi sindiket penipuan ini hasil wang pelaburan yang kami berikan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, skim pelaburan itu tidak sah dari segi undang-undang kerana syarikat tersebut gagal mematuhi undang-undang di negara ini.

“Syarikat ini terang-terangan tidak berdaftar dengan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk melakukan pelaburan. Pembayaran wang pelaburan juga melalui dua bank ternama di negara ini sebelum ke syarikat di luar negara itu.

“Justeru itu, saya meminta pihak berkuasa menyiasat perkara ini di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sindiket ini didakwa di mahkamah atas kesalahan mereka,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI