PETALING JAYA – Gelagat mesra antara atlet Sarawak dan Pahang dalam satu perlawanan bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) 2024 baru-baru ini mencuri perhatian pengguna media sosial.
Menerusi video tular di Facebook, atlet Pahang diraikan dengan cukup meriah oleh penyokong tuan rumah yang menyanyikan lagu ‘Terima Kasih Pahang’.
Kelihatan kesemua atlet Pahang itu turut bergambar dan tidak kekok bermesra bersama barisan penyokong Sarawak yang berada di bangku sebelah padang.
Hubungan mesra antara dua negeri itu ditafsirkan sebagai hubungan ‘cousin’ (sepupu) setelah diperakui oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dalam lawatan Kembara Kenali Borneo September lalu.
Tengku Hassanal pernah menyebut Pahang dan Sarawak merupakan ‘sepupu’ kerana menerima sambutan yang cukup mesra ketika Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjejalah ke negeri tersebut.
Menerusi ruangan komen, rata-rata masih mengingati ungkapan Tengku Hassanal serta lawatan Sultan Pahang dahulu ketika menjadi Agong, malah tidak terkejut melihat keakraban hubungan antara dua negeri tersebut.
“Penyokong Sarawak anggap skuad dari Pahang ‘cousin’. Walaupun kalah, Pahang tetap ‘cousin’ orang Sarawak. Itu lah impak dari lawatan Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Pahang dan kerabat semasa mencemar duli semasa Baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong tahun lalu,” komen Adli.
“Sarawak hormat pada Pahang. Sebab Sultan Pahang masa jadi Agong dulu, masa kembara Sarawak, Tuanku layan orang Sarawak dengan baik. Jadi macam balas budi,” komen Yuzairi.
“Kekuatan aura ni terhasil apabila Agong dan Permaisuri sanggup mencemar duli menjelajah seluruh pelusuk Sabah dan Sarawak.. Sampaikan Sarawak menjadi ‘cousin’ dengan Pahang,” komen Hamzah pula.
“Aura Sultan Pahang dan Putera Puteri Baginda masih menebal di hati rakyat Borneo. Pahang akan sentiasa jadi ‘cousin’ Sabah dan Sarawak,” komen Marlisa. – KOSMO! ONLINE