PETALING JAYA – Acara pembukaan Sukan Malaysia (Sukma) 2024 yang berlangsung gilang-gemilang di Stadium Sarawak kelmarin berjaya menarik perhatian orang ramai kerana dikatakan lebih cantik serta menarik berbanding Olimpik Paris.
Bukan itu sahaja, majlis yang dihadiri lebih 40,000 penonton itu menyaksikan pelbagai persembahan pancaran laser, paluan gendang dan formasi dron yang tampak lebih gah setanding acara pembukaan antarabangsa.
Selain itu, perarakan masuk para atlet dari 14 negeri di Malaysia dan Brunei yang menyertai sukan ini diiringi maskot-maskot setiap negeri bersama persembahan tarian daripada pelbagai etnik di Malaysia disajikan kepada penonton.
Bukan itu sahaja, penyanyi-penyanyi popular tanah air iaitu Faizal Tahir, Marsha Milan, Bob Yusof dan Jaclyn Victor turut mempersembahkan lagu nyanyian mereka ketika upacara perasmian Sukma 2024 itu.
Kemeriahan majlis perasmian diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menjengah ke media sosial, majoriti berpendapat acara pembukaan Sukma 2024 di Bumi Kenyalang itu benar-benar bertaraf antarabangsa sehingga mampu menandingi Sukan Olimpik Paris 2024 yang berlangsung baru-baru ini.
“Ini bukan setanding lagi, tapi lebih cantik dan menarik daripada acara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024,” ujar Meiko.
“Memang betul-betul bertaraf antarabangsa. Orang Sarawak sini hadir sebagai tanda rasa bangga,” komen Aziey.
“Macam Sukan SEA pun ada, Olimpik Paris pun rasanya kalah ni. Memang betul-betul ‘all out’ kali ni Sarawak. Syabas semua,” komen Eden Harraz pula.
Mengikut rekod, kali pertama Sarawak menganjurkan Sukma adalah pada 1990, manakala penganjuran terakhir lapan tahun lalu.
Sukma Sarawak dianjurkan di sembilan bahagian di Sarawak hingga 24 Ogos membabitkan 488 acara dalam 37 jenis sukan terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 wanita dan 35 acara campuran. – KOSMO! ONLINE
kalah Paris dengan Sarawak 🤩🔥
opening tercantik sukma. pic.twitter.com/2Os127lZoL
— ًِ (@bckupacc99) August 18, 2024