fbpx

Tiga projek tebatan banjir manfaat 4,500 penduduk Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Akmal Nasrullah (kanan) meninjau projek pemuliharaan muara Sungai Paka, Dungun hari ini.

DUNGUN – Kerajaan Persekutuan berjaya menyiapkan tiga projek tebatan banjir yang membantu mengurangkan impak banjir hampir 4,500 penduduk daerah ini, Setiu dan Kuala Terengganu.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, tiga projek tersebut telah dilaksanakan di Guntung Luar, Setiu; Gong Kiat; Kuala Terengganu dan muara Sungai Paka di sini.

“Ketiga-tiga projek tebatan banjir tersebut bernilai keseluruhan RM141.27 juta.

“Berdasarkan rekod, kejadian banjir tidak lagi berlaku di ketiga-tiga kawasan berkenaan sejak siapnya kesemua projek tersebut masing-masing pada tahun 2022 dan 2023,” katanya di Paka di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyerahkan tiga projek yang dikendalikan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tersebut kepada kerajaan negeri Terengganu.

Akmal Nasrullah berkata, projek pemuliharaan muara Sungai Paka juga memberi manfaat kepada 110 nelayan tempatan yang sebelum ini menghadapi kesukaran untuk turun ke laut ekoran alur pelayaran tertutup disebabkan mendapan pasir.

Tambah beliau, dahulu muara Sungai Paka juga berhadapan dengan masalah hakisan serius ekoran sering dipukul ombak besar terutama pada musim tengkujuh.

“Kesemua isu tersebut diperbaiki dengan pembinaan pemecah ombak, pembaikan struktur muara sungai dan pembentukan semula pantai.

“Ia sekaligus mendalamkan semula alur pelayaran, membaiki hakisan dan mengatasi masalah banjir pantai di kawasan sekitar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI