KUCHING – Bergelar anggota polis mungkin menjadi cita-cita besar bagi kebanyakan orang namun sebaliknya pula buat jaguh taekwondo Sarawak, Puteri Durratun Zulaikha Samat.
Hasrat untuk menabur bakti kepada negara tercinta sebagai anggota badan beruniform itu terpaksa ditangguhkan buat seketika bagi membolehkannya menghadirkan senyuman kepada kedua ibu bapanya.
Bagaimanapun senyuman yang begitu didambakan begitu ‘mahal’ dan tanpa pengorbanan besar pasti tidak akan membuahkan hasil.
Namun segala keperitan yang dilalui untuk menggembirakan orang tua nyata terbalas apabila memenangi pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) dalam acara bawah 73 kilogram (kg) dengan menewaskan wakil Terengganu, Fu Chervyn 2-0 pada aksi final di Stadium Perpaduan Petra Jaya semalam.
Puteri Durratun juga mendedikasikan kemenangan ini buat bapanya yang kini mengidap beberapa penyakit kronik seperti leukemia, jantung dan usus bocor.
“Bapa saya tidak ada di sini (Stadium Perpaduan), saya juga risau kerana ayah saya ada penyakit jantung. Ketika saya masih kecil, ayah disahkan menghidap penyakit leukemia namun sudah beransur pulih sebelum diserang pula penyakit lain sejak setahun lalu.
“Saya mengambil keputusan untuk berkorban demi keluarga dengan menyertai sukan taekwondo kerana dengan cara ini saja mungkin boleh ubah kehidupan lebih senang.
“Kalau diikutkan, hanya saya seorang saja atlet taekwondo di Sebuyau kerana sukan ini agak asing di kampung saya yang lebih mengenali silat,” katanya yang bercita-cita untuk jadi anggota polis.
Walaupun sudah meraih kejayaan dalam sukan taekwondo, Puteri Durratun juga tetap menaruh harapan untuk menyambung pelajaran dan mengintai peluang merealisasikan cita-citanya untuk bergelar anggota polis.
“Saya hanya memikirkan untuk membantu dan menggembirakan ahli keluarga. Walaupun saya baru saja berusia 19 tahun namun itulah tanggungjawab yang harus dipikul.
“Selepas ini saya mahu rehat dulu. Soal ganjaran RM15,000 yang bakal diterima atlet Sarawak yang menang emas, saya mahu buat rawatan pinggang dan selebihnya saya nak bawa keluarga berjalan,” katanya.