Pusat beli-belah Globe Silk Store (Globe) yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) ketika zaman kegemilangannya sehingga kegawatan ekonomi pada tahun 1998, meninggalkan kenangan yang cukup banyak khususnya bagi mereka yang hidup dalam era tersebut.
Kelebihannya sebagai satu-satunya pusat beli-belah pada zaman itu yang menawarkan pelbagai barangan daripada fesyen lelaki dan wanita dengan jenama utama seperti DON cukup terkenal selain menjadi pilihan ibu bapa membeli pakaian sekolah pada harga mampu milik.
Kini, masih ada yang mengingati jenama tersebut dan ketika ia diambil alih oleh Sarah Hughes @ Globe (Sarah Hughes) pada tahun 2005 sehingga kini, pusat beli-belah itu terus ‘ditembak’ dengan pelbagai pertanyaan daripada pelanggan setianya.
Ketua Pegawai Eksekutif Sarah Hughes, Ketan Doshi berkata, sehingga kini, beliau masih perlu menjawab kekeliruan dan memberi penerangan tentang hala tuju perniagaan dan konsep di bawah pengurusan baharu.
Namun dengan sokongan daripada kakitangannya, premis tersebut menjadi menjadi tumpuan bukan sahaja daripada pelanggan tempatan tetapi juga dari luar negara.
“Kami berasa sangat bertuah kerana pelanggan daripada golongan tua hingga muda masih datang ke sini.
“Mereka nak pegang, sentuh dan rasa kualiti kain, pastikan warnanya bersesuaian, melihat sendiri reka bentuk baju agar berpadanan dengan bentuk badan kerana mereka tidak mahu membuat pilihan yang salah.
“Kami rasa terharu kerana mereka berusaha meluangkan masa dan tenaga untuk berkunjung ke sini. Oleh itu, kami perlu mewujudkan pengalaman menarik untuk seisi keluarga,” katanya kepada Kosmo! di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.
KOSMO!: Boleh jelaskan tentang pengambilalihan Globe yang cukup terkenal sebelum ini oleh Sarah Hughes?
Ketan Doshi: Asalnya kami memiliki perniagaan milik keluarga di Singapura. Kami adalah pemborong langsir dan hiasan rumah yang berpengalaman lebih daripada 40 tahun dan memiliki beberapa rangkaian di luar negara.
Kami mula mengambil alih Globe pada tahun 2005 tetapi masih mengekalkan nama Globe kerana ia sebuah jenama yang cukup popular dan sinonim dengan rakyat di negara ini.
Bermula daripada pemandu teksi hingga kepada golongan kenamaan, masyarakat dulu khususnya cukup mengenali Globe kerana ia adalah satu-satunya pusat beli-belah pertama yang dibuka di Jalan TAR lantas dapat menjadi perhatian semua orang bukan sahaja di Lembah Klang tetapi di negeri lain.
Jika dulu, tiada Menara Berkembar Kuala Lumpur jadi inilah tempat tumpuan orang dari luar Kuala Lumpur (KL), ada pepatah berkata, jika berkunjung ke KL, tidak lengkap rasanya percutian mereka di KL jika tidak singgah di Globe.
Adakah pelanggan masih keliru dan bertanya tentang Sarah Hughes?
Ya, sehingga sekarang dan mereka akan bertanya tentang sejarah lama itu dan kami tidak mahu kelirukan mereka, kami jelaskan perkara yang sebenarnya agar mereka faham tentang kedudukan syarikat.
Kami faham tentang karakter pelanggan kerana mereka sangat arif tentang kegemilangan Globe masa lalu dan kami tidak mahu padamkan memori indah mereka bersama Globe.
Mereka masih ingatkan jenama Globe dan pelanggan kami kini terdiri daripada tiga generasi yang sememangnya setia dengan Globe.
Tetapi apa yang perlu kami lakukan adalah memberi kefahaman bahawa premis sekarang dioperasikan di bawah Sarah Hughes memiliki perancangan hala tuju yang baik untuk terus mengukuhkan jenamanya, menawarkan perkhidmatan dan produk yang lebih baik kepada pelanggan.
Selepas mengambil alih, apa yang dilakukan terlebih dahulu oleh Sarah Hughes?
Kami telah melabur sejumlah wang yang banyak untuk mengubahsuai pusat beli-belah ini kerana imej Globe dibelenggu dengan trend tahun 1990an.
Kami telah melakukan satu kajian yang menyeluruh dan ia mengambil masa kira-kira lima tahun untuk mempelajari tentang pelanggan, tabiat dan perangai mereka,bajet dan trend membeli belah.
Kami juga perlu tahu tentang identiti sebenar kami, kami tidak mahu menjadi sebuah pusat beli-belah berkonsepkan ‘rojak’.
Jadi melalui kajian tersebut, kami ubah konsep dengan pendekatan seni dan sains untuk diterapkan kepada dekorasi dalaman premis.
Kami mengetengahkan konsep menawarkan produk mewah dan premium pada harga berpatutan, selesa dan juga sedia dipakai, Konsep itu diteruskan sehingga kini.
Apakah bidang tumpuan syarikat masa itu?
Kami buka bahagian lelaki dan wanita yang mana kami tumpu bidang fesyen dan seterusnya membuka bahagian kanak-kanak sehingga kepada bahagian menjual pakaian sekolah.
Ketika baru dibuka pada bulan September, pelanggan khususnya ibu bapa begitu sibuk membuat persiapan membeli pakaian sekolah anak-anak.
Kami juga memiliki kakitangan yang cukup berdedikasi, mengambil berat terhadap perkembangan syarikat dan juga menawarkan perkhidmatan serta layanan kepada pelanggan.
Pelanggan datang semula kepada kami kerana mendapat layanan yang baik. Mereka masih setia dan selalu hendak tahu apa yang terbaharu jual di kedai.
Apakah kekuatan produk jualan Sarah Hughes?
Produk hiasan rumah yang kami memiliki beberapa jenama langsir yang berkualiti tinggi dan dijual pada harga berpatutan.
Sebab itu, ada langsir berkualiti tinggi yang kami jual pada harga serendah RM5 semeter. Produk kami turut mendapat permintaan daripada pelanggan di luar negara seperti dari Sri Lanka dan Thailand,
Boleh jelaskan komitmen Sarah Hughes membuat tawaran jualan langsir hanya RM5 semeter kepada pekerja barisan hadapan?
Ketika pandemik, pekerja barisan hadapan seperti polis, jururawat, doktor dan yang lain memainkan peranan yang penting dalam memastikan kita semua sentiasa berada dalam keadaan yang sihat.
Selain melaksanakan tugas hakiki, sebenarnya mereka telah berkorban untuk kesejahteraan semua rakyat, jadi ibu bapa saya telah menghantar satu surat ‘black and white’ yang mengarahkan agar syarikat memberikan jualan istimewa kepada semua barisan hadapan yang datang membeli-belah di sini.
Mereka boleh membeli langsir pada harga RM5 semeter dan juga tawaran diskaun sebanyak 10 peratus untuk pembelian baju sekolah anak-anak.
Ini adalah penghargaan terlalu berharga buat mereka dan promosi masih berjalan sehingga sekarang. Untuk mendapatkan tawaran eksklusif tersebut, mereka perlu menunjukkan pas kerja masing-masing. -KOSMO! ONLINW