fbpx

PuTERA35 martabat ekonomi Bumiputera, kaum lain tidak dipinggir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar berucap pada Majlis Peluncuran PuTERA35 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

PUTRAJAYA – Perdana Menteri mahu pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) dipantau lebih dekat agar ia berjaya memartabatkan Bumiputera dan rakyat keseluruhannya tanpa meminggirkan kaum lain.

Pelaksanaan PuTERA35 akan dipantau sepenuhnya oleh Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang dipengerusikan Anwar sendiri, bakal menjadi dokumen baharu mengangkat darjat dan martabat Bumiputera bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Pelaporan dan pemantauan secara sistematik dan bersepadu melalui ‘dashboard’ membolehkan penilaian lebih menyeluruh serta langkah intervensi dapat dilaksana segera.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar semua agensi, kementerian dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membuat pemantauan itu supaya ia mencapai hasil yang disasarkan demi pembangunan negara.

“PuTERA35 ini perlu, kita nak merancang (Pembangunan Negara) tetapi tanggungjawab saudara dari agensi kerajaan, syarikat kerajaan, jabatan dan kementerian untuk menjayakannnya.

“Kita akan pantau dari dekat dan kita mahu program dan pelan ini berjaya untuk memartabatkan Bumiputera dan rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap meluncurkan PuTERA35 di sini hari ini.

Pelan tersebut dibangunkan dengan penyertaan, pemilikan dan penguasaan (3P) Bumiputera yang lebih bermakna, berhasrat untuk mencipta nilai melalui pendekatan lebih produktif dan bersesuaian dengan moderen Bumiputera dalam usaha meningkatkan peranan lebih signifikan dalam pembangunan sosioekonomi negara.

Ia menekankan kepentingan aspek keseluruhan pembangunan termasuk bumiputera Sabah dan Sarawak, serta orang Asli, menjamin asas kelangsungan, keutuhan dalam pengagihan kekayaan, kesaksamaan dan keadilan sosial.

Pelan ini adalah agenda Bumiputera yang amat diharapkan dengan memberi tumpuan kepada setiap elemen bumiputera dari pelbagai latar belakang dan peringkat di negara ini.

PuTERA35 ini disokong tiga teras iaitu memperkukuh pasak ekonomi negara, memperteguh kerukunan tatakelola dan institusi serta menegakkan keadilan sosial.

Ia turut disokong 12 pemacu dan 132 Ikhtiar yang komprehensif, berani dan berpandangan jauh serta lebih inklusif, iaitu satu anjakan besar dalam membawa pembangunan Bumiputera ke arah menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi serantau.

Dalam pada itu, Anwar berkata, mana-mana pihak mengurus serta mengendalikan agensi Bumiputera itu dianggap pengkhianat lebih besar jika mereka merosakkan agensi itu dengan tatakelola yang rendah.

Jelasnya, ini termasuk menggunakan agensi dan peluang itu untuk memperkayakan diri dan kelompok mereka sehingga melupakan agenda penting mengangkat kaum Bumiputera.

“Dalam proses perbincangan dalam wacana kita lebih awal, ini harus kita mulakan, berapa puluh bilion ringgit saham yang diberikan, hampir puluhan malah ratus agensi didirikan, apakah mereka merencana program secara bertanggungjawab dan ada ke tidak proses akauntabiliti.

“Dalam pelan perancangan, sebelum kita terus ke peringkat pelaksanaan, yang nak laksanakan ini siapa?.

“Tentunya agensi Bumiputera maka mereka harus pastikan proses pelaksanaan itu lebih teliti, cekap, bertanggungjawab,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI