fbpx

Pengendali bas persiaran nahas maut di Genting Highlands didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH didakwa ke Mahkamah Majistret Bentong di Bentong hari ini.

BENTONG – Syarikat pengendali bas persiaran yang terbalik sehingga meragut dua nyawa di Jalan Genting Highlands pada 29 Jun lalu didakwa di Mahkamah Majistret Bentong di sini hari ini.

Syarikat itu menghadapi dua pertuduhan iaitu gagal melindungi keselamatan penumpang serta pengguna jalan raya dan lesen telah tamat tempoh.

Pengarahnya, M.  Kumar, 50, dari Syarikat M. Kumar Trans Tour Sdn. Bhd. bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nuur Fakhizaa Abu Bakar.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Mohd. Nasrul Fazimi Mat Nasir, manakala tertuduh diwakili peguam P. Taneswaran.

Menurut pertuduhan pertama, pada pukul 10.20 pagi, 29 Jun lalu, tertuduh sebagai pemilik lesen untuk bas persiaran yang dipandu S. Anand Kumar, 32, melakukan kesalahan gagal melindungi keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain.

Tertuduh didakwa menyebabkan kematian dua penumpang apabila membenarkan pemandu tanpa lesen memandu yang bertentangan dengan syarat lesen bas persiaran.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) (b) (ii) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Dia juga sebagai pemilik lesen bas persiaran melakukan kesalahan beroperasi dengan lesen tamat tempoh.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 41 (1) (b) (iii) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanyai selain kenderaan hendaklah dibuat pelucuthakan oleh mahkamah.

Dalam prosiding, Mohd. Nasrul Fazimi meminta mahkamah menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan bagi memastikan tertuduh hadir dalam perbicaraan.

Bagaimanapun Taneswaran memohon wang jaminan dikurangkan kepada RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan alasan wang jaminan tinggi tidak wajar dikenakan kerana ia bukanlah hukuman memandangkan tertuduh belum dibuktikan bersalah.

Majistret memutuskan wang jaminan sebanyak RM6,000 bagi dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 27 September depan bagi sebutan semula kes.

Pada 3 Julai lalu pemandu bas persiaran yang terbalik dalam kejadian kemalangan maut di Jalan Genting Highlands mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Raub atas dua pertuduhan memandu dengan berbahaya dan tidak mempunyai lesen memandu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dengan bahaya dan Seksyen 26 (1) APJ 1987 kerana memandu tanpa lesen memandu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI