NEW DELHI – Beribu-ribu penunjuk perasaan India yang marah termasuk peminat bola sepak daripada kelab bermusuhan, berarak untuk menuntut keadilan hari ini selepas seorang doktor dirogol dan dibunuh.
Mogok oleh pekerja kesihatan kerana membantah jenayah itu kini memasuki minggu kedua di India.
Penemuan mayat doktor berusia 31 tahun itu dalam keadaan berlumuran darah di sebuah hospital kerajaan di bandar Kolkata, timur India pada 9 Ogos lalu mencetuskan mogok pekerja kesihatan dan protes di seluruh India.
Mereka membantah keganasan kronik terhadap wanita di negara itu.
Persatuan-persatuan doktor dari hospital kerajaan di banyak bandar di seluruh India meneruskan mogok mereka hari ini dengan membatalkan perkhidmatan tidak penting.
“Kami melupakan perseteruan kami untuk sama-sama menyeru keadilan buat mangsa dan keluarganya.
“Perjuangan ini lebih penting daripada kelab bola sepak kami, malah lebih penting daripada politik,” kata penyokong kelab bola sepak Mohun Bagan Kolkata, Bablu Mukherjee
Doktor yang dibunuh itu ditemui di dewan seminar hospital berkenaan, membayangkan mangsa KOpergi ke sana untuk berehat semasa syif selama 36 jam.
Bedah siasat mengesahkan serangan seksual dan dalam petisyen kepada Mahkamah Tinggi Kolkata, ibu bapa mangsa berkata, mereka mengesyaki anak perempuan mereka dirogol bergilir-gilir.
Dalam kes perpaduan yang jarang berlaku, peminat daripada kelab pesaing Bagan Kolkata iaitu East Bengal bersama-sama berarak dalam perhimpunan tengah malam yang berlangsung hingga awal pagi tadi.
“Kami bersama doktor-doktor. Kami mahukan keadilan,” jerit mereka serentak.
Banyak protes di beberapa bandar diterajui sendiri oleh doktor dan pekerja penjagaan kesihatan lain dan turut disertai oleh puluhan ribu rakyat biasa yang menuntut keadilan.
Keganasan seksual terhadap wanita adalah masalah yang meluas di India. Negara itu merekodkan purata hampir 90 kes rogol sehari pada 2022. – AFP