KULIM – Tindakan seorang pekebun memuat naik video bagi menjelaskan kejadian sebenar berhubung kes dua beradik maut termakan keropok beracun di Facebooknya baru-baru ini bertujuan untuk membersihkan namanya.
Uzair Shafawi Hasbullah, 34, berkata, dia tampil menjelaskan kejadian itu selepas mendakwa difitnah pelbagai pihak selain bagi mempertikaikan dakwaan bahawa jajan tersebut diambil dari kebun miliknya.
Dakwanya, terdapat banyak lagi keropok dicampur racun yang digantung di kawasan kebun lain dan ladang kelapa sawit berhampiran.
“Saya rasa tidak logik apabila ada yang mendakwa keropok racun itu diambil dari kawasan pagar kebun saya. Ini kerana kedudukan keropok digantung tinggi. Memang tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak berusia empat tahun. Kawasan itu juga penuh semak.
“Saya letakkan lima bungkusan keropok di kawasan laluan monyet berhampiran ladang sawit dan hutan. Tiga daripadanya hilang diambil monyet,” katanya ketika ditemui.
Shafawi mendakwa, dua bungkusan keropok yang diikat benang itu masih ada di hujung pagar di kawasan hutan dan tidak terusik.
“Ada kesan keropok yang sudah dipecahkan oleh monyet dan terdapat bangkai monyet beberapa meter dalam parit berhampiran kebun saya yang dipercayai termakan keropok itu. Saya tidak pasti macam mana ada yang dakwa keropok itu diambil oleh mangsa,” ujarnya.
Selepas dua mangsa dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang dengan seorang daripada mereka meninggal dunia, Uzair berkata, dia dihubungi pihak polis sebelum ditahan ketika berada di rumah ibu mentuanya di Lubuk Buntar.
“Saya memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis dan faham tugas mereka. Cuma saya hairan kenapa saya sahaja yang dikenakan tindakan?,” katanya.
Menurutnya lagi, dia trauma sejak ditahan reman selama lapan hari dan masih tertanya-tanya kenapa dia dikenakan tindakan, namun menganggap semua itu adalah suratan takdir.
“Setiap malam, saya juga terbayang wajah dua kanak-kanak terbabit dan amat bersimpati dengan nasib yang menimpa mereka kerana usia mereka sama dengan dua anak saya,” katanya
Tambahnya, dia kini menggunakan sebuah sangkar yang diberi oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) untuk memerangkap monyet dan tidak lagi menggunakan racun pada makanan bagi menjaga tanamannya. – KOSMO! ONLINE