fbpx

Paetongtarn teruskan legasi Shinawatra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Paetongtarn tiba bersama Thaksin untuk upacara pengesahan diraja secara rasmi di Bangkok semalam. - AFP

BANGKOK – Perdana Menteri baharu Thailand, Paetongtarn Shinawatra, berikrar untuk meningkatkan ekonomi negara itu yang lembab ketika beliau secara rasmi mengambil alih jawatan tersebut semalam.

Paetongtarn, 37, ialah anak perempuan jutawan kontroversi yang juga bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra.

Wanita tersebut menjadi Perdana Menteri termuda Thailand, yang mula berkuasa selepas Mahkamah Perlembagaan memecat Srettha Thavisin pada minggu lepas. Ia susulan tuduhan melanggar peraturan etika dengan melantik menteri Kabinet yang mempunyai sabitan jenayah.

Paetongtarn juga merupakan ahli keluarga Shinawatra ketiga yang menjadi Perdana Menteri, tetapi berharap dapat mengelak nasib sama yang menimpa bapa dan ibu saudaranya, Yingluck.

Kedua-dua mereka disingkirkan dalam rampasan kuasa tentera.

Paetongtarn menerima warta bertulis rasmi Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn untuk membentuk kerajaan dalam satu majlis semalam.

Sejurus dilantik secara rasmi, beliau menyeru semua rakyat Thailand untuk bekerjasama dalam membantu menggiatkan semula ekonomi negara itu, yang bergelut untuk bangkit daripada pandemik Covid-19.

“Sebagai ketua kerajaan, saya akan bekerjasama dengan Parlimen dengan hati terbuka. Saya bersikap terbuka kepada semua idea untuk membantu membangunkan negara,” katanya selepas majlis itu.

“Rakan-rakan Thai sekalian, tugas ini tidak boleh dilakukan oleh Perdana Menteri sahaja. Saya harap saya akan dapat menyelaraskan kuasa semua generasi, semua orang berbakat di negara ini, daripada Kabinet, gabungan, penjawat awam, sektor swasta dan rakyat,” tambahnya.

Sementara itu, Thaksin, 75, ialah antara tetamu terkemuka yang hadir pada majlis itu. Beliau berdiri bersama suami Paetongtarn di barisan hadapan.

Dengan pelantikan tersebut, Paetongtarn kini mengetuai kerajaan gabungan yang diketuai oleh parti Pheu Thai serba baharu, yang diasaskan oleh Thaksin pada awal 2000-an.

Parti-parti yang dikaitkan dengan bekas taikun telekomunikasi dan pemilik kelab Manchester City itu memenangi pilihan raya berkali-kali namun, kerajaannya kemudian ditumbangkan oleh rampasan kuasa dan keputusan mahkamah.

Paetongtarn ialah pendatang baharu dalam kancah politik, sehingga lewat 2022 apabila beliau menceburi arena tersebut menjelang pilihan raya umum tahun lalu.

Parti pimpinannya, Pheu Thai bagaimanapun dikalahkan oleh Parti Move Forward (MFP) yang progresif.

Namun, walaupun memenangi kebanyakan kerusi dalam pilihan raya tahun lalu, MFP kemudian disekat daripada membentuk kerajaan oleh senator-senator yang dilantik junta konservatif.

Alasan yang dikemukakan adalah kebimbangan mengenai janji MFP untuk memperbaharui undang-undang penghinaan diraja dan memecahkan monopoli perniagaan yang berkuasa.

Ia membolehkan Pheu Thai membuat perjanjian gabungan dengan parti pro tentera yang pernah menentang Thaksin dan pengikutnya, yang membawa kepada pelantikan Srettha.

Namun tidak sampai setahun kemudian, Srettha menjadi Perdana Menteri ketiga daripada parti yang disokong Thaksin dipecat oleh Mahkamah Perlembagaan.

Dalam pada itu, Thaksin yang hidup dalam buangan selama 15 tahun selepas digulingkan, menerima pengampunan diraja, manakala parolnya berakhir semalam.

Sebelum ini, pembebasan Thaksin dijangka tamat pada akhir bulan ini, namun penamatan lebih awal itu adalah sebahagian daripada pengampunan diraja ke atas banduan-banduan yang mempamerkan tingkah laku baik. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI