fbpx

Narqes tawar perkhidmatan terbaik, diyakini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Radziq (kiri) sentiasa mendapat sokongan daripada isterinya membina empayar perniagaan sedia ada

KUALA LUMPUR – Keputusan­nya meninggalkan kerjaya sebagai peguam dan melangkah dalam bidang perniagaan sedekad lalu bukanlah suatu perkara yang dikesali.

Bagi Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi Narqes Holdings Sdn. Bhd., & Narqes Group of Companies (Narqes), Datuk Radziq Jalaludin, 42, meski­pun hanya sempat menabur bakti dalam bidang perundangan hartanah selama lima tahun, namun keputusan nekadnya itu mampu membuatkan beliau tersenyum puas dengan pencapaiannya kini.

Menurut anak jati Petaling Jaya, Selangor ini, usai tamat pengajian di peringkat sarjana muda di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak, beliau terus mendapat tawaran bekerja sebagai peguamcara dan peguambela di sebuah firma guaman di ibu kota.

Selepas berkhidmat selama lima tahun, beliau mendapat tawaran untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang polisi awam di Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) selama dua tahun.

“Disebabkan tawaran bernilai itu, saya terpaksa meletakkan jawatan sebagai peguam dan berhijrah bersama keluarga menetap di Johor Bahru.

“Demi keluarga, setiap hari saya berulang alik ke Singapura menaiki pengangkutan awam terutama­nya bas.
“Setelah tamat pengajian pada 2014, saya sepatutnya balik ke ibu kota tetapi terus berkhidmat di Singapura kerana mendapat tawaran bekerja sebagai Pembantu Eksekutif kepada Ketua Pegawai Operasi di salah sebuah bank,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Bagi memudahkan beliau memberi tumpuan kepada kerjaya baharunya, bapa kepada lima cahaya mata itu terpaksa berpindah ke negara republik itu.

Selepas setahun setengah menabur bakti di Seberang Tambak, beliau ditukarkan dan mendapat peluang berkhidmat di negara sendiri.

Pun begitu, khidmatnya be­kerja di bank hanya bertahan selama setengah tahun kerana merasakan jiwanya lebih terarah dan beralih kepada bisnes.

“Sewaktu di universiti, ada juga beberapa cabang bisnes yang pernah saya cuba sertai seperti perniagaan pemasaran pelbagai peringkat (MLM).

“Namun itu semua (bisnes) tidak pernah berjaya dan hanya saya lakukan secara suka-suka tanpa minat serius dan modal yang besar,” katanya.

Jelas beliau, pengalaman bergelar peguam di firma guaman dan bidang korporat di bank sebelum ini telah dijadikan ‘tiket’ mudah bagi dirinya memulakan bisnes sendiri.

Pada Julai 2016, Rad­ziq memulakan perniagaan dalam bidang kecantikan dan medispa dengan jenama yang diambil sempena nama isterinya, Narqes.

Berbekalkan wang simpanan ha­sil bekerja selama ini, beliau dan isterinya bergan­ding bahu melabur RM150,000 sebagai modal permulaan bisnes.

“Pada fasa awal perniagaan, kami hanya mempunyai sebuah premis dengan seramai lima pekerja.

“Ketika itu saya berpe­ranan sebagai orang yang bertanggungjawab dalam pembangunan perniagaan, selain turut menjalankan kerja lain seperti mencari sumber dana, mengembangkan rangkaian bisnes, berurusan dengan pelabur, pelanggan dan pihak luar serta hal-hal berkaitan unjuran perancangan jangka panjang syarikat,” katanya.

Berkongsi mengenai cabaran, paling tidak dilupakan beliau ketika negara dibadai pandemik maut Covid-19 yang menyebabkan kesemua 15 outlet yang dibina dalam tempoh empat tahun ditutup sementara waktu pada 2020.

Ujarnya, ketika itu syarikat tidak dapat beroperasi ekoran arahan dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) daripada kerajaan selama hampir tujuh bulan.

“Saya dan isteri bersyukur kerana kami mempunyai simpanan tunai yang mencukupi untuk survival sejak kami beroperasi dari 2016.

“Justeru sepanjang tujuh bulan tidak dapat beroperasi, syarikat dapat bertahan tanpa membuang staf selain masih boleh membayar gaji serta ansuran sewa bulanan premis menggunakan dana kontigensi,” katanya.

Jelas Radziq, Narqes kini sudah beroperasi selama lapan tahun dan semakin aktif mengembangkan perniagaan sedia adanya selain berinisiatif me­laksanakan promosi untuk mengukuhkan imej syarikat.

Syarikat yang kini mempunyai 23 outlet di seluruh negara optimis untuk terus menawarkan servis terbaik dan berkualiti selain diyakini pengguna.

“Kami turut mempunyai sebuah kilang kosmetik sendiri, kilang makanan kesihatan dan pusat penjagaan selepas bersalin yang melibatkan lebih 120 staf secara keseluruhan,” katanya.

Tambah beliau, syarikat bakal membuka tujuh outlet baharu tahun hadapan selain menambah rangkaian produk estetik dan makanan kesihatan sedia ada di bawah label Narqesskintelligent dan Navawhite.

Lebih membanggakan beliau, jenama Navawhite kini telah berjaya memasuki rangkaian farmasi di zon utara dan Kelantan serta bakal me­lebarkan sayap di pasaran di Lembah Klang tidak lama lagi. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI