ALOR SETAR – Mayat dua wanita ditemui dengan kesan kecederaan di dalam longkang belakang sebuah bangunan terbiar di Lebuhraya Sultan Abdul Halim, di sini petang tadi.
Mayat kedua-dua mangsa yang lengkap berpakaian itu ditemui bersebelahan satu sama lain.
Salah seorang mangsa dijumpai dalam keadaan terlentang, manakala seorang lagi tertiarap.
Dua mangsa itu dikatakan mempunyai pertalian keluarga.
Tinjauan mendapati anggota forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) melakukan siasatan di lokasi kejadian.
Siasatan di tempat kejadian selesai kira-kira pukul 8.50 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Salawati Saad mengesahkan penemuan dua mayat itu dan kenyataan berhubung kejadian akan diberikan dalam tempoh terdekat. – KOSMO! ONLINE.