JITRA – Langkah membawa masuk 127 rakyat Palestin bagi menerima rawatan di negara ini mengukuhkan lagi rekod Malaysia mengenai komitmen terhadap keamanan serta misi-misi kemanusiaan di peringkat antarabangsa yang dilaksanakan sejak sekian lama.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia bukan kali pertama Malaysia ke depan dalam menghulurkan bantuan kerana misi seumpamanya pernah dilaksanakan semasa perang melibatkan Vietnam, Afghanistan dan Bosnia Herzegovina.
Katanya, setiap kali ada mana-mana negara yang dilanda krisis sama ada pembersihan etnik atau ketidakstabilan politik, sejarah menunjukkan bahawa Malaysia merupakan antara negara yang terkedepan menghulur bantuan.
“Semasa Perang Vietnam, kita pernah menyediakan sebuah pulau di Terengganu dan penempatan pelarian di Sungai Besi, Kuala Lumpur. Apabila keadaan sudah selamat dan selesai, kita uruskan penghantaran pulang dengan badan-badan antarabangsa seperti Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) kemudian menghantar mereka ke negara ketiga.
“Ketika Afghanistan diserang Rusia pada 1980-an, kita bawa pelajar-pelajar dari negara itu ke Malaysia kerana mereka tak dapat meneruskan pengajian. Di sini, kita beri mereka belajar di universiti tempatan dan apabila keadaan tenang, para pelajar itu kembali ke Afghanistan semula untuk berkhidmat buat negara mereka.
“Begitu juga perang di Bosnia Herzegovina pada 1990-an. Dalam tempoh berlakunya pergolakan politik dan pembunuhan, kita bantu mereka dan sampai sekarang rakyat di sana amat menghargai pertolongan dari Malaysia,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Pelancaran Bulan Kebangsaan Dan Kibar Jalur Gemilang 2024 Peringkat Negeri Kedah di Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, di sini hari ini.
Saifuddin mengulas tindakan kerajaan membawa 41 pesakit dan 86 waris mereka ke negara ini menggunakan pesawat Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Jumaat lalu bagi mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan.
Mengulas lanjut Saifuddin berkata, ketika Palestin berdepan ujian yang sangat berat ketika ini, Malaysia sekali lagi tidak mampu berdiam diri dan menghulurkan bantuan sepatutnya buat rakyat di sana di samping menghantar pelbagai bantuan kemanusiaan termasuk pakaian, makanan dan ubat-ubatan melalui sempadan Mesir. – KOSMO! ONLINE