KATHMANDU – Seorang warga Britain menempa nama dalam Guinness World Records selepas bermain ski di puncak sebuah gunung di Banjaran Himalaya dan mendarat menggunakan payung terjun, lapor agensi berita United Press International.
Joshua Bregmen, 34, berjaya mencatatkan rekod dunia itu di Puncak Mera setinggi 5,716 meter.
Dia menerima pengiktirafan dalam kategori lompatan ski-BASE pada altitud paling tinggi di dunia.
Lompatan ski-BASE adalah sukan ski pada kelajuan tinggi di tebing atau gunung dan melakukan terjunan bebas di udara menggunakan payung terjun.
Menurut Bregmen, dia dan pasukannya menghabiskan masa selama dua minggu untuk mempersiapkan rekod itu dengan meninjau dan membersihkan kawasan tersebut bagi memastikan aksinya berjalan lancar. – AGENSI