VALENCIA – Barcelona memulakan saingan musim baharu La Liga dengan langkah kanan apabila bangkit mencatat kemenangan 2-1 ke atas Valencia pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Mestalla awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, Barcelona terlebih dahulu ketinggalan 0-1 hasil jaringan Hugo Duro sebelum The Catalans memastikan tiga mata menjari milik mereka menerusi dua gol yang dijaringkan Robert Lewandowski.
Kemenangan itu juga menjadi permulaan terbaik buat jurulatih baharu, Hansi Flick dalam usaha beliau untuk mengembalikan kegemilangan Barcelona, sekali gus menamatkan dominasi musuh tradisi, Real Madrid.
“Saya fikir kami bermain lebih baik di separuh masa kedua walaupun beraksi dengan kelibat tiga ke empat orang pemain muda. Perlawanan ini sangat penting kerana kami mahu memulakan musim baharu dengan tiga mata.
“Perlawanan hari ini (semalam) bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi bermain di Mestalla. Saya gembira kerana dapat menjaringkan dua gol bagi memastikan tiga mata menjadi milik kami,” kata Lewandowski.
Sementara itu, Flick menjelaskan, beliau ada membuat perubahan taktikal pada waktu rehat sehingga menyaksikan Barcelona menampilkan aksi lebih baik selepas tidak berpuas hati dengan prestasi separuh masa pertama.
“Kami melakukan banyak kesilapan pada 45 minit pertama dan ia memaksa kami membuat perubahan terhadap taktikal. Saya sangat lega kerana kami berjaya bangkit dan mencatat kemenangan,” ujarnya. – AGENSI