KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mengkaji kaedah pelaksanaan cukai karbon dalam usaha menggalakkan pelaburan hijau dalam kalangan industri di negara ini, terutamanya melibatkan sektor yang membuat pelepasan karbon tinggi.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pendekatan berbentuk carrot and stick (ganjaran dan hukuman) adalah penting dalam memastikan ketelusan dan persekitaran yang adil buat perniagaan.
“Dari segi stick (hukuman), semua negara maju bergerak ke arah cukai karbon, kami sedang berbincang bersama Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam untuk melihat bagaimana ini boleh diimplementasikan.
“Ia telah dibincangkan pada Majlis Pelaburan Negara dan MoF telah diberi garis masa untuk melihat perkara ini dan mereka memerlukan lebih masa untuk mengkajinya secara holistik.
“Cuma untuk bagi idea, hanya satu sektor dari sektor pembuatan menyumbang hampir 25 peratus daripada pembebasan karbon negara… Pendekatan stick perlu bagi memastikan syarikat-syarikat ini patuh (kepada usaha mengurangkan pembebasan karbon),” katanya pada sesi pengumuman Strategi Pelaburan Hijau (GIS) Malaysia di Menara MITI, di sini.
Tengku Zafrul bagaimanapun memaklumkan cukai karbon tidak akan diumumkan pada pembentangan Bajet 2025 yang dijadualkan pada 18 Oktober ini kerana ia masih dalam peringkat kajian.
Tambahnya, sekiranya cukai karbon tidak dibuat, syarikat tidak mempunyai insentif yang banyak bagi melaksanakan pelaburan untuk mengurangkan pembebasan karbon masing-masing, kerana ia melibatkan kos yang lebih tinggi.
“Jadi tidak ada persekitaran perniagaan yang adil, kos mereka akan menjadi lebih tinggi dan kurang kompetitif berbanding syarikat yang tidak melabur dalam usaha mengurangkan pembebasan karbon,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE