fbpx

Jangan biarkan Orang Asli ketinggalan arus pembangunan – Sultan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin berkenan melihat persembahan tradisi Mah Meri pada majlis pelancaran Buku Orang Asli Mah Meri bertajuk Moyang-Spirit of Carey Island. - Foto oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

KUALA LANGAT – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar keperluan dan kebajikan masyarakat Orang Asli sentiasa diambil berat oleh semua pihak.

Titah baginda, ini termasuk kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dapat memberi bantuan dan bimbingan kepada masyarakat tersebut dalam menjalani kehidupan seharian serta sama-sama menikmati pembangunan dan kemajuan dengan cara tersendiri.

Sultan Sharafuddin bertitah supaya Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor memastikan keperluan asas seperti jalan raya, air, elektrik, klinik kesihatan dan sekolah dapat terus disediakan dan diselenggara dengan baik dan sempurna.

“Kerajaan negeri Selangor khususnya perlulah peka terhadap keperluan masyarakat Orang Asli dan bersedia membantu
untuk pembangunan dan kemajuan masyarakat berkenaan di Selangor.

“Beta tidak mahu masyarakat Orang Asli di Selangor ini dibiarkan ketinggalan dari arus pembangunan,” titah baginda ketika melancarkan Buku Orang Asli Mah Meri bertajuk Moyang-Spirit of Carey Island, hari ini.

Turut berangkat hadir adalah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sultan Sharafuddin turut bertitah mengingatkan kerajaan juga harus memainkan peranan penting untuk memastikan kesihatan warga Orang Asli dan kebersihan perkampungan mereka sentiasa di tahap yang baik.

“Beta tidak mahu ada menganggap kewujudan orang Asli tidak relevan lagi dalam usaha mengejar kemajuan negara,” ttitah baginda. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI