PETALING JAYA – “Orang Islam ni mempunyai keperibadian yang tinggi. Ingat cik, Islam bukan eksklusif milik Melayu sahaja”.
Demikianlah nasihat seorang lelaki dalam satu kiriman mesej kepada guru sebuah sekolah agama di Negeri Sembilan yang merendah-rendahkan Orang Asli susulan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, semalam.
Lelaki tersebut dikenali sebagai Uncle Barry yang juga merupakan Orang Asli suku Jakun dari Kuantan, Pahang, menghantar mesej tersebut bagi melahirkan rasa kekecewaannya terhadap penghinaan dibuat oleh guru terbabit.
Katanya, hinaan sebegitu bukanlah pertama kali terjadi, malah sudah beberapa kali dilemparkan kepada keseluruhan masyarakat Orang Asli.
“Assalamualaikum, saya sebagai wakil dari komuniti Orang Asli cadangkan cikgu tersebut letak jawatan atau dikenakan tindakan tatatertib dilucutkan jawatan.
“Perkara menghina macam ni bukan sekali dua jadi kepada kami. Saya dah mesej dia secara ‘personal’ di Facebook. Sungguh saya berasa sangat-sangat kecewa,” ciapnya di aplikasi X.
Terdahulu, tular mengenai kenyataan seorang guru yang menyamakan penyokong parti tertentu dengan masyarakat Orang Asli.
Kenyataan itu mengundang pelbagai reaksi terutamanya terhadap kewajaran merendah-rendahkan kaum tertentu.
Sementara itu, Uncle Barry dalam kiriman mesejnya kepada guru tersebut di Facebook, menyatakan agama Islam bukan hanya ekslusif untuk kaum Melayu sahaja bahkan Orang Asli juga ada yang menganutnya.
“Semasa saya belajar di Sekolah Agama dulu, saya tidak diajar untuk merendah-rendahkan bangsa lain, malah ustazah saya pesan supaya hormat dan tunjuk yang kita orang Islam ni mempunyai keperibadian yang tinggi.
“Ingat cik, Islam bukan eksklusif milik Melayu sahaja. Bercampur. Jangan duduk di bawah tempurung sahaja. Bila hanya bergaul dengan puak sendiri, macam ni lah jadinya. Rasa diri sempurna, rasa diri mulia, rasa diri dah di atas sana,” ujarnya.
Hari ini Kosmo! melaporkan guru tersebut kini disiasat oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) kerana melemparkan hinaan itu secara terbuka di platform media sosial.
Pemangku Pengarah JPNS Putra Hashim berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana guru yang melanggar peraturan-peraturan berkuat kuasa.
“Siasatan lanjut akan dilaksanakan berdasarkan Subperaturan 19(1)(a), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993] berkaitan Pernyataan Awam.
“Berdasarkan peraturan berkenaan, seseorang pegawai awam tidak boleh, secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain membuat pernyataan awam yang boleh memudaratkan apa-apa dasar, rancangan dan keputusan kerajaan tentang apa-apa isu,” katanya hari ini. – KOSMO! ONLINE