NEW DELHI – Seorang guru di India digantung kerja kerana melakukan kekerasan dengan menarik rambut dan menendang seorang murid perempuan, lapor stesen penyiaran NDTV semalam.
Kejadian berlaku beberapa hari lalu di sebuah sekolah rendah milik kerajaan di Bisouli, negeri Uttar Pradesh.
Menurut ketua pejabat daerah tempatan, Manish Kumar Singh, pihaknya menerima aduan tentang guru berkenaan yang dikenali sebagai Ajit Yadav.
“Dia didakwa menarik tocang pelajar itu dan menendangnya,” kata Manish.
Katanya, pegawai pendidikan tempatan melakukan siasatan mereka pada 13 Ogos lalu.
“Mangsa turut membuat aduan kepada pasukan penyiasat tentang kejadian ini,” tambah Ajit.
Tambahnya, kelakuan guru itu melanggar Akta Hak Kanak-kanak Mendapat Pendidikan Percuma dan Wajib 2009 dan Peraturan Kakitangan Kerajaan (Tatatertib dan Rayuan) Uttar Pradesh 1999.
Suspek telah digantung tugas dan pejabat pendidikan diarahkan untuk mengemukakan laporannya dalam masa 15 hari. – AGENSI