GEORGE TOWN – Food Bayana yang beroperasi sebagai pusat makanan semi-automatik pertama di rantau ini bakal menjadi satu lagi mercu tanda ikonik di Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Food Bayana menggabungkan sistem pembayaran digital dan teknologi robotik ke dalam operasinya, di mana sistem penghantaran makanan kepada pelanggan menggunakan teknologi robot.
“Sebagai sebuah negeri yang sinonim dengan sektor pelancongan dan tumpuan aktiviti ‘food hunting’, adalah wajar bagi Pulau Pinang menyediakan kemudahan dan teknologi terkini untuk membawa industri makanan dan minuman (F&B) ke peringkat seterusnya.
“Projek Food Bayana yang menggunakan teknologi robot untuk menghantar makanan kepada para pelanggan mampu meningkatkan daya saing sihat serta mencerminkan semangat progresif zon perdagangan bebas antara syarikat-syarikat dan agensi-agensi yang beroperasi di seluruh Pulau Pinang,” katanya selepas merasmikan Food Bayana di Bayan Lepas, di sini hari ini.
Menurut Kon Yeow, dengan anggaran kos pembinaan sebanyak RM30 juta, Food Bayana yang dibangunkan oleh Pentamaster Corp Bhd turut diiktiraf sebagai Green Building Index (GBI) yang diperakui mempamerkan reka bentuk mesra alam serta komitmennya terhadap kemampanan alam sekitar.
“Sebagai makluman, projek Bayana ini terdiri daripada tiga kompleks utama iaitu Bayana Hub, Bayana Food dan Bayana Park.
“Di atas tanah dengan keluasan 2,000 meter persegi, medan selera Food Bayana yang berkonsep terbuka ini terdiri daripada 31 gerai yang mengumpulkan pengusaha-pengusaha makanan terkenal dari seluruh Pulau Pinang.
“Malah, para pengunjung juga boleh menikmati makanan dari gerai-gerai yang diusahakan oleh warga tempatan yang tersenarai dalam rekomendasi Michelin seperti Laksa Penang terkenal dari Penang Road dan lain-lain,” katanya.
Tambahnya, projek Bayana akan memberi nilai tambah di kawasan sekitar, sekaligus membolehkan rakyat menjana peluang pendapatan dan menikmati kehidupan yang lebih baik.
“Projek Bayana ini dibangunkan menjadi hab gaya hidup yang menerapkan unsur moden, hijau serta mampan yang selari dengan Visi Penang2030 dalam usaha melahirkan sebuah negeri pintar dan hijau berteraskan keluarga inspirasi negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE