LONDON – Bekas pelumba Formula Satu (F1), Johnny Herbert memberi amaran kepada Lando Norris agar tidak terlalu ghairah mendedahkan perasaannya kerana bimbang pesaing lain mungkin mengambil kesempatan terhadap kelemahan yang ditunjukkan pelumba McLaren itu.
Herbert meluahkan kebimbangannya bahawa Norris sedang bergelut dengan aspek mental dalam F1 dan menasihati pemandu berusia 24 tahun itu agar kurang bersikap terbuka dengan mendakwa bahawa pesaingnya akan menyerang titik kelemahannya.
Komen Herbert hadir selepas penasihat Red Bull, Helmut Marko, menyatakan pandangannya bahawa Oscar Piastri, rakan sepasukan Norris mungkin lebih kuat dari segi mental berbanding pemandu British tersebut.
Norris yang berjaya meraih kemenangan sulungnya di Grand Prix Miami pada Mei lalu, menikmati separuh pertama musim F1 2024 dengan penuh cemerlang bersama McLaren sebelum terlepas beberapa peluang besar.
Pemandu Britain itu terlepas beberapa peluang untuk menambah jumlah kemenangannya akibat beberapa keputusan yang tidak tepat, termasuk hentian pit yang tidak sesuai di Kanada, permulaan yang lemah di Sepanyol dan pemilihan tayar yang silap di Silverstone.
Norris juga menamatkan perlumbaan di tempat kedua di belakang rakan sepasukan, Oscar Piastri di Hungary selepas pertelingkahan mengenai arahan pasukan di pertengahan perlumbaan.
Sementara itu, Norris mengakui kecewa selepas aksi Grand Prix Belgium yang menjadi perlumbaan terakhir sebelum cuti musim panas F1 dengan menyatakan bahawa dia ingin melupakan segalanya seketika selepas kehilangan banyak mata kerana kesilapan ‘bodoh’.
“Saya tak tahu kenapa. Ini cuma perkara remeh, bukan sesuatu yang susah pun. Cuba elakkan masalah, cuba pastikan ada ruang dan tidak terkena apa-apa, tetapi saya tergelincir keluar trek, jadi cuma perkara bodoh,” katanya. – AGENSI