PENYANYI Demi Lovato mengakui bersikap kasar dan kurang sopan ketika menjalani penggambaran rancangan terbitan Disney Channel, Camp Rock 2 dan Sonny With A Chance.
Katanya, ketika itu dia muda dan sedang berhadapan dengan masalah penyalahgunaan dadah.
“Saya sangat menyesal dan mohon maaf. Dahulu saya kerap berkasar dan sering marah-marah ketika bekerjasama dengan penata gaya.
“Waktu itu kesalahan saya agak mudah dimaafkan kerana masih muda dan baharu dalam industri. Tetapi sebenarnya waktu itu juga saya perlu berdepan dengan tekanan perasaan, gangguan emosi dan terlibat dengan penggunaan bahan terlarang,” ujarnya.
Lovato yang muncul dalam sebuah dokumentari bertajuk Child Star itu turut menyesali tindakannya yang terlibat dengan dadah.
“Pada 2018, disebabkan dadah saya hampir maut dan dimasukkan ke hospital kerana mengalami strok, kegagalan organ dan serangan jantung,” katanya.