BAGAN DATUK – Barisan Nasional (BN) memerlukan bantuan dan sokongan parti komponen Kerajaan Perpaduan khususnya Pakatan Harapan (PH) dalam memastikan kemenangan BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, bulan depan.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata keterlibatan parti komponen PH dalam PRK tersebut sangat penting, kerana komposisi pengundi dan demografi di DUN Mahkota adalah berbeza dengan DUN Nenggiri.
“Di DUN Mahkota, landskap politik adalah berbeza, justeru walaupun jentera kempen adalah sama, tetapi pendekatan adalah berlainan dengan yang digunakan pada PRK Nenggiri, baru-baru ini,” katanya.
Beliau bercakap pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pemajuan Kawasan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Simpang Tiga di sini hari ini.
Pada PRK Nenggiri kelmarin, BN dan UMNO melarang parti komponen PH berkempen berikutan hampir 100 peratus pengundinya adalah orang Melayu dan Orang Asli.
Dalam PRK itu, BN berjaya merampas kembali kerusi tersebut daripada Bersatu dengan majoriti 3,372 undi.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, jumlah pengundi di DUN Mahkota adalah tiga kali ganda daripada di DUN Nenggiri, jadi harus melibatkan semua pihak dengan rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan wajib dilibatkan dalam kempen PRK tersebut.
Jelasnya, jika BN sebelum ini bertanding secara solo, pihaknya mengakui hakikat bahawa parti itu memerlukan rakan-rakan kongsi politik yang baik dan akan menjalinkan kerjasama dengan pihak lain dalam mendepani sebarang pilihan raya. – KOSMO! ONLINE