fbpx

Biar pihak berkuasa tentukan tindakan kepada Muhyiddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled berucap pada Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan bulan kebangsaan peringkat Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh AMIR KHALID / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yakin pihak berkuasa akan menjalankan siasatan lanjut ke atas Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ia susulan Bekas Perdana Menteri itu didakwa menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini.

Malah isu berkenaan turut mendapat perhatian Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang mengeluarkan titah murka terhadap Muhyiddin semalam.

Menurut Mohamed Khaled, siasatan oleh pihak berkuasa itu bagi melihat tindakan yang perlu terhadap Muhyiddin.

“Saya pasti dengan titah sedemikian pihak-pihak yang bertanggungjawab akan mengambil serius untuk lihat apa yang wajar dilakukan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan bulan kebangsaan peringkat Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Terdahulu Kosmo! kelmarin melaporkan, Tengku Hassanal menzahirkan kemurkaan atas tindakan Muhyiddin yang sengaja mempertikaikan tugas dan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Tengku Hasanal bertitah, sebagai seorang bekas menteri, kenyataan Muhyiddin memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.

Malah titah baginda, kenyataan Muhyiddin itu juga kelihatan tidak matang dan menampakkan seolah-olah beliau masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri.

Justeru, Tengku Hasanal mahu pihak polis mengambil tindakan yang tegas tanpa kompromi terhadap Muhyiddin yang secara sengaja menyentuh sentimen kaum, agama dan raja (3R).

“Saya juga ingin menasihatkan kepada semua ahli politik sentiasa berpegang teguh pada prinsip Rukun Negara dan terus-menerus menyatupadukan rakyat agar Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa dapar menjadi sebuah negara maju,” titahnya lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI