TRIPOLI – Bank pusat Libya mengumumkan untuk menggantung semua operasi selepas seorang pegawai kanannya diculik di ibu negara, Tripoli, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Pengumuman itu dibuat semalam. Bank berkenaan mengutuk penculikan Pengarah Teknologi Maklumatnya, Musab Msallem.
“Msallem diculik dari rumahnya oleh ‘pihak yang tidak dikenali’ pagi semalam, manakala pekerja-pekerja lain turut diancam dengan penculikan.
“Bank ini tidak akan beroperasi melainkan Msallem dibebaskan,” kata Bank Pusat Libya.
Bank Libya itu adalah satu-satunya depositori yang diiktiraf masyarakat antarabangsa untuk urus niaga minyak.
Minyak menjadi sumber pendapatan ekonomi utama untuk Libya yang berpecah-belah selama bertahun-tahun. Negara itu terbahagi kepada dua kerajaan yang bersaing di Tripoli dan Benghazi.
Penculikan itu berlaku seminggu selepas bank pusat terbabit dikepung oleh kumpulan lelaki bersenjata, kata AFP.
Menurut media tempatan, kepungan itu bagi memaksa gabenor bank berkenaan, Seddik al-Kabir meletak jawatan.
Semasa memegang jawatan sejak 2012, Kabir berdepan kritikan berhubung pengurusan sumber minyak dan belanjawan negara.
ibya berada dalam situasi huru-hara selepas pemimpinnya, Muammar Gaddafi dibunuh pada 2011. – AGENSI