PETALING JAYA – Pelakon Meerqeen memilih untuk tidak melayan segala komen negatif kerana tidak mahu menyediakan ruang yang boleh mencetuskan gejala buli siber dalam media sosial.
Pernah menjadi mangsa buli siber, Meerqeen atau Muhammad Shameer Shauqeen Saiful Izam, 23, berkata, dia hanya mengabaikan semua komen negatif tersebut selain enggan memanjangkan apa sahaja isu yang ingin dicetuskan netizen.
“Dulu saya selalu juga baca komen-komen negatif tetapi sekarang tidak lagi sebab tak mahu memberikan perhatian kepada netizen.
“Kalau saya jawab komen tersebut nanti akan ada beratus-ratus respons lagi yang ditinggalkan.
“Jadi, lebih baik saya diam selain menasihati ahli keluarga untuk tidak membalas atau melayan komen negatif tersebut,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.
Mengulas tentang kes buli siber yang semakin meruncing, Meerqeen berkata, perkara tersebut bukan sahaja dihadapi oleh rakan artis tetapi juga individu lain dalam media sosial.
Katanya, masyarakat tidak seharusnya menormalisasikan tindakan tidak bermoral sebegitu dalam kehidupan seharian.
“Semuanya berbalik kepada diri sendiri dan bagaimana cara seseorang itu mengawal situasi.
“Saya rasa masyarakat kita sudah perlu berhenti menormalisasikan buli siber, tanpa sedar memberi impak terhadap perkara lain termasuk kesihatan mental seseorang,” ujarnya.
Dia bagaimanapun tidak menafikan adakalanya buli siber tercetus kerana gagal mengawal emosi sendiri terutama apabila melibatkan isu sensitif.
“Saya tidak nafikan kadang-kadang manusia ini termasuk saya juga tidak berfikir sebelum melakukan apa-apa dan itulah lumrah manusia.
“Kalau terlalu marah dan ikut emosi, kita tidak boleh mengawal keadaan dan hanya luahkan apa yang terlintas dalam fikiran pada ketika itu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE