JEMPOL – Seorang lelaki terkejut apabila pagar serta tembok bahagian hadapan rumah sewanya di Bahau, di sini, disimbah cat berwarna merah dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi tadi.
Lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Amir berusia pertengahan 20an itu berkata, ketika itu dia mahu pergi ke tempat kerjanya dan terkejut apabila mendapati cat berwarna merah tersebut turut terkena bahagian hadapan kereta miliknya.
Menurutnya, dia segera menghubungi pemilik rumah bagi memaklumkan kejadian tersebut serta penemuan kertas tertera maklumat amaran terakhir ke atas nama seorang individu dipercayai peminjam along.
“Sebelum pergi kerja saya nak buang sampah, tengok hadapan rumah dah banyak cat. Terkejut juga sebab dah setahun juga saya duduk di sini, tetapi tak pernah berlaku kejadian seperti ini.
“Saya harap masalah ini dapat diselesaikan dengan baik dan saya juga telah menyerahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya. Disebabkan kejadian ini saya kerugian lebih RM200 membabitkan bahagian hadapan kereta yang turut terkena percikan cat merah,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook mengesahkan kejadian berkenaan dan menyatakan mangsa sudah membuat laporan polis kira-kira pukul 3.37 petang tadi.
Menurutnya, berdasarkan siasatan, mangsa tidak pernah meminjam pada mana – mana agensi pinjaman wang tanpa lesen dan tidak mengenali nama individu yang tercatat pada kertas putih yang ditulis oleh suspek.
“Malah, pemilik rumah menyatakan tidak pernah menyewakan rumah tersebut pada individu dimaksudkan suspek dan kejadian tersebut merupakan kali pertama sejak pemilik rumah membeli rumah tersebut.
Menurutnya, pihaknya sedang mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan. -KOSMO! ONLINE.