Legenda filem Perancis, Alain Delon disahkan meninggal dunia pada usia 88 tahun di kediamannya semalam.
Memetik laporan AFP, kematian Delon disahkan tiga anaknya iaitu Alain Fabien, Anouchka, Anthony selepas mendiang bergelut dengan masalah kesihatan yang tidak dinyatakan secara terperinci.
“Tiga anak Delon dan anjingnya, Loubo, dengan rasa sedih memaklumkan tentang pemergian aktor berkenaan.
“Delon meninggal dunia dengan tenang di rumahnya di Douchy, Perancis di sisi tiga anak serta ahli keluarga lain,” katanya.
Sekitar tahun 2019, Delon yang terkenal menerusi filem klasik bertajuk Purple Noon (1960) dan Le Samurai (1967) pernah mengalami keadaan kesihatan yang teruk sejak diserang angin Ahmar.
Terdahulu, dia yang mendapat julukan ‘French Frank Sinatra’ mengumumkan bersara dari dunia lakonan pada 6 Mei 2017.
Sepanjang karier sebagai pelakon, Delon pernah terlibat dalam 90 buah filem selain menerima pelbagai anugerrah termasuk Pelakon Terbaik Anugerah Cesar, Honorary Golden Bear serta digelar sebagai lelaki paling menarik di dunia. – KOSMO! ONLINE