PETALING JAYA – Senyuman kegembiraan seorang kanak-kanak lelaki Palestin yang cedera pada mata kanan serta sedang dirawat di hospital tentera di negara ini mengundang sebak dalam kalangan warga Malaysia.
Menerusi video dimuat naik seorang pengguna media sosial, kanak-kanak tersebut dianggarkan berusia antara satu hingga dua tahun tersenyum gembira di atas katil hospital serta menggunakan ‘baby walker’ bermain di sekitar wad.
Berikutan itu, ramai yang meleleh air mata selain mendoakan keselamatan dan kesihatan kanak-kanak Palestin tersebut, lebih-lebih lagi keadaan matanya yang dikatakan cedera.
“Kecil-kecil dah terseksa kena serpihan batu bom. Kita cuma biasa kena rotan, semoga semuanya akan sihat-sihat,” kata seorang pengguna TikTok mengagak keadaan dialami kanak-kanak tersebut.
“Gembira melihat mereka tanpa gangguan bunyi perang, tanpa debu-debu runtuhan, cukup makan dan minum,” kata seorang lagi pengguna media sosial.
“Aku nak nangis ni. Terbaik sahabat semua yang terlibat secara langsung dalam misi ini. Anda hero kami,” ujar pengguna TikTok.
“Peluk sayangku dari jauh. Ibu di Indonesia. Terima kasih Malaysia,” komen pengguna TikTok dari negara jiran. – KOSMO! ONLINE