fbpx

Tarikh tutup permohonan Iltizam Catalyst dilanjut sehingga 31 Ogos ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Melalui program Iltizam Catalyst, usahawan PKS bumiputera dibantu berdepan cabaran untuk terus kukuh berdaya saing dalam bidang perniagaan masing-masing. - Gambar hiasan

PETALING JAYA – Tarikh tutup permohonan bagi program Iltizam Catalyst 2024 yang dikendalikan oleh Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) telah dilanjutkan sehingga 31 Ogos ini.

Sehubungan itu, perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kini mempunyai lanjutan peluang untuk memohon menyertai program tersebut.

Iltizam Catalyst 2024 adalah program pemerkasaan perniagaan secara menyeluruh selama 12 bulan yang dibawa khas oleh Ekuinas secara percuma, bagi membantu PKS menangani cabaran-cabaran lazim dan mengukuhkan asas perniagaan bagi memacu pertumbuhan mampan.

Rangka kerja program tersebut tertumpu kepada empat aspek teknikal dan utama iaitu  kewangan & pematuhan, penjenamaan & pemasaran digital, adaptasi teknologi, dan kepimpinan. 

Ia bertujuan untuk memperkasa usahawan bumiputera dengan menyediakan ilmu, bimbingan, dan kelengkapan untuk menangani cabaran yang dihadapi. 

Program tersebut menggabungkan penilaian, latihan teknikal dan bukan teknikal oleh pakar perunding, bimbingan daripada pemimpin industri.

Pengarah Hal Ehwal Berkepentingan Ekuinas, Hizwani Hassan berkata, berdasarkan pengalaman dalam pelaburan ekuiti persendirian dan penciptaan nilai yang agresif bagi syarikat portfolio, Ekuinas memahami cabaran yang dihadapi  PKS dan apa yang diperlukan bagi memacu pertumbuhan perniagaan secara mampan. 

“Iltizam Catalyst bermatlamat untuk memperkasa, memperkukuh dan memacu perniagaan bumiputera dengan mengatasi cabaran perniagaan dalam empat aspek utama.”

“Sejak penubuhannya pada tahun 2022, Iltizam Catalyst telah memacu pertumbuhan 38 PKS bumiputera daripada pelbagai sektor. 

“Kami berharap lebih banyak PKS terutamanya dalam bidang yang unik dan perniagaan niche dalam sektor pembuatan, makanan dan minuman, peruncitan, pendidikan, agrikultur, kesihatan dan perkhidmatan, akan mengambil peluang yang unik ini dan memohon untuk menyertai program yang kini  telah dilanjut tarikh tutup permohonan hingga 31 Ogos,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Untuk memohon, PKS bumiputera mestilah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi Sabah dan Sarawak), mempunyai pendapatan tahunan sebanyak RM300,000 sehingga RM1 juta dan mencatatkan rekod keuntungan selama dua  tahun berturut-turut. 

Pada tahun 2023, Ekuinas melalui Iltizam telah menyalurkan RM13.8 juta ke arah pelbagai program yang telah memanfaatkan lebih daripada 74,000 individu, keluarga, usahawan dan perniagaan di seluruh Malaysia. 

Daripada jumlah tersebut, sebanyak  RM3.3 juta disalurkan ke arah program keusahawanan. Sejak penubuhannya, jumlah perbelanjaan Ekuinas di bawah Iltizam mencecah RM100 juta. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI