fbpx

Tahlil buat arwah nenek moyang di tapak kubur lama Tasik Pedu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk kampung mengadakan tahlil buat nenek moyang mereka yang disemadikan di tanah perkuburan lama di Kampung Mong Gajah, Pedu dekat Kuala Nerang pada kelmarin. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN

KUALA NERANG – Sebahagian penduduk sayu ketika menghadiri majlis tahlil yang diadakan di tapak perkuburan berusia lebih 100 tahun di kampung lama, Kampung Mong Gajah di Tasik Pedu, dekat sini semalam.

Majlis tahlil dan kenduri arwah itu diadakan berikutan tapak kubur di kawasan perkampungan lama ‘timbul’ semula dari dasar tasik akibat kemarau berpanjangan.

Kira-kira 300 penduduk kampung berhampiran hadir pada majlis tersebut bagi mendoakan ahli keluarga serta nenek moyang mereka yang bersemadi di situ.

Penduduk Kampung Pinang, Ismail Md. Daud, 62, berkata, majlis berkenaan berjaya menghimpunkan ramai penduduk dan sanak saudara.

“Kawasan perkampungan lama yang merupakan kampung nenek moyang kami ini akan timbul setiap kali musim kemarau iaitu empat tahun sekali, jadi kami ambil kesempatan itu untuk ziarah dan buat tahlil.

“Meskipun gembira dapat berkumpul sanak saudara dan makan bersama, hati kami tetap rasa sayu bila terkenangkan nenek moyang yang disemadikan di sini. Kawasan kubur ini akan hilang apabila paras air naik semula,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, majlis tahlil dan kenduri itu menerima tajaan makanan daripada ramai penduduk dengan persediaan di situ dibuat sehari awal.

“Sejak petang kelmarin kami sudah memasang khemah dan yang bertugas sebagai tukang masak akan tidur di sini. Menu untuk kenduri adalah 10 ekor kambing masak kurma dan rendang, 30 kilogram (kg) daging lembu dimasak gulai, 40 kg ikan lampam jawa goreng, kerabu beka serta ulam-ulaman.

“Semoga majlis tahlil ini mendapat berkat dan pahala dihadiahkan kepada mereka yang sudah pergi,” ujarnya.

Menurutnya, bapanya, Md. Daud Hassan, 90, pernah tinggal di Kampung Kuala berhampiran Kampung Mong Gajah, namun Kampung Kuala tidak pernah timbul sejak ditenggelamkan untuk projek empangan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid berkata, terdapat kira-kira 15 kampung yang ditenggelamkan untuk projek Empangan Pedu pada 1960-an dan ia dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI