fbpx

Sejarah terukir, 600 alumni IPTA disatukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zambry (tengah) menyerahkan Anugerah Ikon Alumni kepada alumni UITM, Awang Damit Ahmad (dua dari kanan) di MAL'24 semalam. FOTO oleh KOSMO! /AMIR KHALID.

KUALA LUMPUR – Sejarah terlakar apabila seramai 600 alumni dari Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seluruh negara disatukan di dalam satu majlis iaitu Majlis Malam Alumni Universiti Awam Malaysia 2024 (MAL’24) yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, malam tadi.

Majlis ini bertujuan bagi memperkukuhkan hubungan universiti dengan alumni sekali gus membangkitkan semangat alumni untuk terlibat secara langsung dengan pihak kerajaan serta universiti bagi memampan sektor pendidikan tinggi negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menubuhkan Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia (MALUMNI) bagi menggembleng tenaga, berkongsi rasa dan ruang untuk memangkin kesejahteraan warga universiti dengan lebih baik serta melihat kepentingan peranan alumni sebagai bekas pelajar kepada sesebuah pusat pengajian.

“Buat julung kalinya, KPT dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Tinggi dan MALUMNI menganjurkan MAL’24 bagi merakamkan penghargaan atas sumbangan alumni kepada ‘alma mater’ (universiti) dan negara selama ini.

“Dalam pada itu, pihak Kementerian ingin menzahirkan tanda penghargaan kepada alumni yang sentiasa berhubungan untuk menyumbang kepada Alma Mater dalam pelbagai cara dan skala demi memperkasakan institusi itu sendiri selain membina jaringan yang kukuh antara pusat pengajian dan bekas pelajar.

“Melalui program sebegini secara asasnya menonjolkan alumni sebagai suri teladan (role-model) yang terbaik buat pelajar yang sedang menuntut di universiti. Saya percaya alumni adalah aset penting negara yang mempunyai peranan besar kepada kemajuan dan kelestarian universiti serta negara,” katanya ketika berucap pada majlis itu semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman; Pengerusi MALUMNI, Prof Madya Dr Raman Noordin dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Datuk Dr Mohd Zahari Ismail.

Katanya, penganjuran MALUMNI dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal pelajar (BHEP), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dan 20 Pusat dan Jabatan Alumni UA di Malaysia diadakan buat julung kalinya dengan melantik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sebagai tuan rumah.

MALUMNI dilaksanakan dua tahun sekali bertujuan untuk menyatukan para alumni daripada pelbagai bidang dan universiti sekali gus mengiktiraf sumbangan mereka dalam membangunkan negara dan berbakti kepada universiti.

Dalam majlis yang dberlangsung, sebanyak tiga kategori anugerah disampaikan oleh Zambry iaitu Anugerah Ikon Alumni, Anugerah Alumni Kedermawanan dan Anugerah Alumni Muda Harapan.

Seramai 20 alumni dari pelbagai IPTA menerima Anugerah Alumni Muda Harapan, manakala Anugerah Ikon Alumni telah diberikan kepada Pengasas Pantau Iraga Art Space, Awang Damit Ahmad yang merupakan Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Seterusnya, Anugerah Alumni Kedermawanan pula telah dianugerahkan kepada dua orang penerima iaitu Pengasas dan Pengerusi Eksekutif, Top Glove Corporation Bhd, Tan Sri Lim Wee Chai (Alumni Universiti Malaya) dan Ketua Eksekutif, Bidara Kekal Sdn. Bhd./ Naib Presiden Forest City Berhad, Datuk Dr. Daing A. Malek Daing A. Rahman (Alumni Universiti Malaya). -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI