KULIM – Sejumlah bahan buangan terjadual dipercayai sarung tangan lateks terpakai dijumpai di sebuah tapak pembinaan kilang di sini, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya menerima aduan berhubung penemuan bahan buangan itu menerusi e-mel pada kelmarin.
Katanya, bahan buangan tersebut ditemui oleh seorang perunding yang mahu menjalankan kajian teknikal di tapak tersebut.
“Bertindak atas aduan tersebut, JAS memulakan siasatan pada semalam dan mendapati buangan yang ditinggalkan berkemungkinan adalah sarung tangan lateks terpakai dan bahan-bahan lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, jumlah buangan yang dijumpai dianggarkan berjumlah satu metrik tan dengan penyiasatan dan persampelan bahan itu dijalankan dari pukul 9 pagi hingga 3 petang, semalam.
“Sampel-sampel berlainan jenis komposisi telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia Pulau Pinang untuk dianalisa. Tindakan lanjut akan diambil setelah keputusan analisa kimia diterima,” ujarnya.
Menurutnya, sekiranya buangan adalah sisa pepejal iaitu bukan buangan terjadual, kes akan diserahkan kepada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan pihak Kulim Hi-Tech Park untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Sekiranya ia tercemar dengan buangan terjadual, kes akan diambil tindakan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 (Pindaan 2024),” ujarnya.
Tambahnya, semua pihak terutama pemilik premis industri diingatkan supaya bersikap lebih bertanggungjawab dalam pengurusan buangan premis masing-masing.
“Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati menyebabkan pencemaran dan seseorang yang disabitkan dengan kesalahan pelupusan buangan terjadual di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan 2024) boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan boleh didenda tidak kurang RM100,000 dan tidak melebihi RM10 juta,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE