fbpx

PRK Nenggiri: Bukan sahaja amanah tapi tanggungjawab besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid (tengah) semasa tiba di Program Temu Mata Bersama Warga Peneroka Kesedar di Jeram Tekoh, Gua Musang baru-baru ini. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/ KOSMO!

PETALING JAYA – Kejayaan Barisan Nasional (BN) menawan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri merupakan kepercayaan diberikan pengundi yang bukan sahaja satu amanah tetapi juga tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga berharap kejayaan itu menjadi pemangkin kepada ikhtiar melakar kejayaan yang lebih bermakna di masa hadapan.

“Dengan mandat ini, kita raikan dengan penuh tawaduk dan keinsafan bahawa jalan perjuangan masih panjang serta usaha mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO dan BN akan tetap diteruskan.

“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada ikhtiar melakar kejayaan yang lebih bermakna di masa hadapan. Terima kasih Nenggiri,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook malam tadi.

Calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan, menang pada PRK DUN Nenggiri dengan majoriti besar 3,352 undi.

Beliau memperoleh 9,091 undi dan menewaskan pencabarnya calon Pas Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional yang meraih 5,739 undi.

Ahmad Zahid turut mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Pilihan Raya DUN Nenggiri Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub selaku pengarah operasi serta seluruh jentera BN dan semua jentera parti di bawah Kerajaan Perpaduan yang bertungkus lumus membantu bagi memastikan kemenangan Mohd Azmawi Fikri.

“Tiada ungkapan lebih besar dapat saya ungkapkan selain Engkaulah Yang Memberikan Kekuasaan Ya Allah.

“Setinggi-tinggi penghargaan saya sampaikan kepada seluruh pengundi di N.43 DUN Nenggiri yang telah memberikan kepercayaan semula buat Barisan Nasional untuk kembali berkhidmat kepada rakyat di sini,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI