SEOUL – Penjualan besar-besaran kenderaan elektrik (EV) terpakai berlaku di Korea Selatan susulan insiden sebuah Mercedes-Benz berkuasa elektrik terbakar secara tiba-tiba di Incheon. lapor akhbar The Korean Herald kelmarin.
Kejadian di ruang letak kereta bawah sebuah blok apartmen pada 1 Ogos lalu itu menyaksikan lebih 140 buah kenderaan lain turut terbakar. Kebakaran itu mencetuskan cadangan untuk menyekat EV daripada menggunakan parkir bawah tanah.
Susulan kejadian itu juga, pasaran kenderaan Korea Selatan dibanjiri dengan EV terpakai.
Platform jualan kereta terpakai kedua terbesar di Korea Selatan, K Car melaporkan peningkatan 184 peratus dalam penyenaraian EV terpakai pada minggu pertama bulan ini berbanding minggu terakhir Julai lepas.
Siri kenderaan Mercedes-Benz EQE merangkumi model standard EQE 300 dan EQE 350+ iaitu model yang terlibat dalam kebakaran di Incheon, bersama-sama kereta AMG serta kenderaan utility sukan (SUV) EQE menerima ‘tempias teruk’ di pasaran.
Akibatnya, harga untuk kenderaan elektrik mewah itu telah menurun.
Sebelum insiden kebakaran berlaku, model EQE terpakai biasanya dijual pada harga antara 60 juta won (RM195,500) hingga 70 juta won (RM228,000) di Korea Selatan.
Kini, beberapa model pramilik 2023 EQE 300 dijual balik serendah 59 juta won (RM192,000), penurunan ketara berbanding harga jualan asalnya sebanyak 92 juta won (RM294,000).
Impak kebakaran di Incheon itu memburukkan lagi tahun yang sukar bagi pembuat EV di Korea Selatan.
Pengeluar-pengeluar EV kini melancarkan promosi yang agresif untuk mengatasi kesangsian pengguna yang semakin meningkat untuk memiliki sebuah EV,
Syarikat pengeluar kereta tempatan, Hyundai Motors mula menawarkan diskaun yang besar untuk menarik pembeli kembali ke pasaran EV.
Ia termasuk potongan harga sehingga 5 juta won (RM16,300) untuk model Kona Electric dan diskaun 10 peratus untuk kereta Ioniq 5 yang popular.
Sementara itu, jenama mewah Hyundai, Genesis turut menawarkan diskaun sehingga 5 peratus untuk semua model keluarannya.
Pembuat kereta import juga merasakan tekanan dan mengurangkan harga supaya terus berdaya saing.
Kereta jenama BMW menawarkan diskaun lebih 12 peratus untuk model elektrik utamanya, i7 dan iX.
Dalam pada itu, syarikat Audi telah melangkah lebih jauh dengan menawarkan diskaun hampir 30 peratus untuk model kenderaan e-tronnya, termasuk versi RS berprestasi tinggi.
Walaupun terdapat tawaran itu, pengguna di Korea Selatan dilihat tidak tergesa-gesa untuk kembali membeli EV.
Menurut pengedar kereta di Korea Selatan, sejumlah pembeli yang membuat tempahan untuk EV baharu juga telah membatalkan tempahan mereka.
Lebih memburukkan keadaan adalah perbincangan bagi melaksanakan peraturan baharu yang menjadikan pemilikan EV lebih menyusahkan seperti mengehadkan penggunaannya di tempat letak kereta bawah tanah kerana risiko kebakaran. – AGENSI