ARAU – Seorang pelajar Kolej Komuniti Arau maut selepas kereta yang dia naiki bersama dua rakan terbabas dan merempuh sebatang pokok jati di Jalan Kuala Perlis-Changlun, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 8.41 pagi itu, mangsa berusia 18 tahun yang duduk di kerusi penumpang hadapan kereta jenis Proton Wira meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah pada anggota badan.
Sementara itu, pemandu kereta remaja lelaki berusia 19 tahun dan penumpang remaja perempuan berusia 18 tahun cedera.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, kejadian berlaku ketika pelajar lelaki tersebut dalam perjalanan dari Kuala Perlis menghala Kolej Komuniti Arau.
“Ketika melalui Jalan Kuala Perlis-Changlun, pemandu kereta dipercayai terlelap menyebabkan kereta tersebut hilang kawalan sebelum terbabas melanggar pokok jati di kiri jalan,” katanya di sini hari ini.
Pemandu kereta masih dirawat di zon kuning manakala pelajar perempuan yang berasal dari Padang Serai, Kedah dirawat di zon merah Hospital Tuanku Fauziah, di sini. – KOSMO! ONLINE