IMPIAN untuk menjadi terkenal akhirnya menjadi kenyataan buat penyanyi baharu dan YouTuber, Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar, 23, yang ditemui meninggal dunia berdekatan Jambatan Sungai Klang pada Rabu lalu.
Namun perhatian yang diraih arwah bukanlah seperti yang diharapkan sewaktu hayatnya masih ada. Sebaliknya perhatian diraih meruntun jiwa jutaan rakyat Malaysia yang terkesan dengan kisah kematian menyayat hati.
Bermula dengan berita dia dilaporkan hilang selepas keluar berjoging di Stadium Sultan Sulaiman, Klang, sehinggalah penemuan telefon pintar dan dompet arwah di atas Jambatan Klang.
Nama Nidza Afham yang juga merupakan abang kepada penyanyi, Aufahanie menjadi sohor kini dalam platform media sosial.
Pelbagai spekulasi mula bertebaran tentang punca kehilangan serta kematiannya yang dianggap penuh misteri.
Namun hasil bedah siasat, polis memaklumkan bahawa kematian anak kelima daripada tujuh beradik itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Sewaktu berada di Hospital Shah Alam menanti hasil bedah siasat, kakak Afham iaitu Efahanie memberitahu media bahawa dia sekeluarga mengharapkan agar tiada sebarang kecederaan pada jenazah arwah.
Perkara sama turut menjadi doa dalam solat ibu Afham, Irni Yusnita saat mengetahui anaknya hilang.
“Selepas menemui telefon pintar dan dompet arwah di jambatan, saya sudah rasa mungkin dia (arwah) berada di bawah sana (sungai).
“Selepas buat laporan polis, saya terus pulang, solat dan berdoa semoga Allah pulangkan anak saya dalam keadaan yang sempurna sebagaimana saya melahirkan dia dengan sempurna.
“Hati saya betul-betul tenang apabila tengok wajah Afham. Sewaktu jenazah dimandikan, saya lihat tiada satu pun bahagian tubuh arwah yang patah. Allah kabulkan doa saya untuk Afham kembali dengan sempurna,” katanya.
Ketika majlis pengebumian yang bertempat di Tanah Perkuburan Islam Puncak Alam, ratusan hadir untuk memberikan penghormatan terakhir buat arwah yang terdiri daripada ahli keluarga, sanak saudara, sahabat handai serta rakan industri.
Hujan lebat yang membasahi bumi tiba-tiba berhenti sewaktu jenazah mahu disemadikan seakan memberi laluan agar urusan itu dapat disempurnakan sebelum matahari melabuhkan tirai.
Biarpun hujan di langit sudah reda, tetapi hujan membasahi pipi insan-insan yang menyayangi arwah terus laju mengalir menandakan betapa dia disayangi dan disenangi ramai.
Antara yang dilihat menangis di pusara ialah rakan baik arwah yang sama-sama mengorak langkah dalam bidang seni iaitu Razmansyah dan Afiq Adnan.
“Alhamdullilah, semuanya dipermudahkan untuk sahabat seperjuanganku, Nidza Afham. Kaulah sahabat aku dan Afiq masa mula-mula masuk dalam industri.
“Untunglah sekarang kau dah dikenali satu Malaysia. Satu Malaysia doakan kau Nidza.
“Semoga kau tenang di sana, kita nyanyi di sana pula nanti okey. Tunggu kami. Kau akan dirindui saudaraku,” coret Razmansyah dalam hantaran Instagram miliknya.
Razmansyah, Afiq dan arwah Afham pernah menghasilkan lagu Bayangan dan OY (Only You) pada 2022 hasil ciptaan Sharon Paul dan Ezra Kong. Arwah juga pernah merakamkan lagu solo berjudul Ternyata Bukan Aku dan Tambah Satu Lagi? ciptaan Sharon Paul.
Sebelum itu arwah pernah menyertai rancangan hiburan I Can See Your Voice musim ketiga bersama adiknya Aufahanie.
Arwah juga aktif menyanyikan lagu-lagu saduran dalam saluran YouTube antaranya Rindu Setengah Mati daripada kumpulan D’Masiv yang mencecah 6.7 juta tontonan.
Daripada-Nya kita datang dan kepada-Nya juga kita kembali. Semoga Nidza Afham damai di negeri abadi dan segala memori manis sepanjang hayatnya tersemat utuh dalam ingatan insan tersayang buat selama-lamanya. Al-Fatihah. – KOSMO! ONLINE