GUA MUSANG – Calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani yang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri meneruskan rutin hariannya dengan menyantuni dan bersarapan bersama penduduk di Sungai Asap A, di sini hari ini.
Mohd. Azmawi yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Kelantan dan Gua Musang sudah berkunjung bagi bertemu pengundi untuk menzahirkan ucapan terima kasih seawal pukul 7 pagi tadi.
Menurutnya, beliau akan terus meneruskan aktiviti mengunjungi penduduk di kedai kopi kerana ia sudah menjadi rutinnya sebelum menang PRK.
Katanya, selain Sungai Asap A, belkau akan berkunjung ke Sungai Asap B dan beberapa lagi kawasan bagi bertemu penduduk setempat hari ini.
“Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada semua yang mengundi dan memberi kemenangan kepada BN. Saya percaya mereka yang mengundi merupakan menyokong dan yakin dengan gerak kerja saya di kawasan ini sebelum menjadi calon PRK lagi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd. Azmawi memberitahu, kemenangan itu merupakan tanggungjawab yang harus dipikul bagi menjaga kebajikan rakyat di DUN Nenggiri.
“Saya turun ke gelanggang PRK dengan kekalahan 810 undi, namun saya berjaya memperoleh kemenangan dengan majoriti besar,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE