SUNGAI SIPUT – Seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli yang sebelum ini dilaporkan hilang di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu di sini, ditemukan meninggal dunia semalam.
Mangsa, Nuraina Humaira Rosli, 10, ditemukan orang awam dalam keadaan terbaring di kawasan berpaya pada pukul 4.20 petang.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin, mangsa dijumpai tidak sedarkan diri pada jarak 50 hingga 100 meter dari rumah terakhir di perkampungan berkenaan.
Katanya, berdasarkan pemerhatian awal, tiada kecederaan pada tubuh mangsa yang boleh dikaitkan dengan perlakuan jenayah.
“Pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa telah pun meninggal dunia.Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE