fbpx

Malaysia-Brunei bincang tingkatkan kerjasama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (kanan) bersama Putera Mahkota Brunei. FACEBOOK

PETALING JAYA – Kunjungan hormat Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah ke Malaysia hari ini memberikan isyarat penting bahawa hubungan erat serta kerjasama dua hala antara kedua-dua negara akan terus diperkukuh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, delegasi kedua-dua negara berbicara panjang berkaitan usaha meningkatkan kerjasama Malaysia-Brunei dalam pelbagai bidang, khususnya perdagangan dan pelaburan, pertahanan, pendidikan serta hal ehwal sempadan.

“Saya dan Azizah menerima kunjungan hormat DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri bersama-sama isteri YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman di Seri Perdana, Putrajaya hari ini.

“Perbincangan turut meneroka potensi mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai industri termasuk teknologi digital dan latihan, selain ruang untuk bersama-sama memperkasa hal ehwal syariah dan bahasa Melayu,” tulisnya di Facebook hari ini.

Kata Perdana Menteri lagi, usai perbincangan, beliau turut meluangkan masa makan tengah hari bersama-sama delegasi Brunei.

“Saya turut menyajikan Putera Mahkota dan isteri dengan buah durian, di samping hidangan-hidangan lain.

“Saya zahirkan penghargaan atas perkenan Putera Mahkota Brunei dan isteri mengadakan kunjungan hormat dan lawatan rasmi ke Malaysia, sekali gus membuka ruang untuk membina persahabatan yang lebih utuh demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI