PETALING JAYA – Kejutan kek hari jadi oleh sepasang suami isteri sempena ulang tahun kelahiran anak sulung mereka bukan sahaja mengundang tangisan kanak-kanak lelaki tersebut, bahkan membuatkan ramai tersentuh dengan sambutan berkenaan.
Menerusi video dimuat naik bapa kanak-kanak itu di TikTok pokmungchannel_2, anak sulungnya diberi kejutan dengan nyanyian ‘Allah selamatkan kamu’ oleh dua anaknya yang lain sebaik dia membuka pintu rumah.
Kanak-kanak itu yang dilihat seakan menahan sebak terus memeluk ibunya yang sedang berdiri memegang kek.
“Ibu ingat hari jadi along, tengok kek tu,” kata wanita itu dengan nada sebak.
Bukan sahaja mereka, anak kedua pasangan itu yang juga kanak-kanak lelaki turut menangis melihat situasi tersebut.
“Angah nangis juga,” kata lelaki itu menyakat anak keduanya.
“Ayah nak nangis,” balas kanak-kanak tersebut sambil mengelap air mata dengan bajunya.
Membalas komen pengguna TikTok, lelaki tersebut turut memuat naik video persiapan kecil-kecilan sambutan hari jadi anaknya yang mana mereka membeli makanan Jepun, sushi.
“Ini saja ‘mok pok’ (ibu dan bapa) kamu raikan anak-anak supaya mereka rasa dihargai. Kita buat sambutan sekadar kemampuan kita, cukup untuk membahagiakan mereka,” katanya.
Sementara itu, rata-rata turut tersentuh melihat suasana sambutan hari jadi itu, ditambah pula melihat anak kedua pasangan tersebut yang sebak pada hari berkenaan.
“Dia peluk mak dia pun aku dah melalak,” kata seorang pengguna TikTok.
“Sambutan kecil-kecilan tapi bermakna. Takkan dapat kat mana-mana,” kata individu lain.
“Anak lelaki nombor dua memang hati tisu kan. Sangat ‘sweet’ (manis), sangat ‘caring’ (ambil berat) ya,” kata seorang lagi pengguna TikTok.
“Mak cik pun sedih tengok angah nangis. Semoga jadi anak soleh, selamat hari jadi along,” kata seorang lagi individu. – KOSMO! ONLINE
@pokmungchannel_2 Sanah helwah along.. Sekoda termanpu ibu dan ayoh buat untuk along.. #mokmung #ariffbillah #pokmung ♬ bunyi asal – pokmungchannel