PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menambah waktu pengoperasian kaunter selama satu jam melibatkan beberapa negeri.
Ketua Pengarahnya, Aedy Fadly Ramli berkata operasi kaunter itu melibatkan hari Isnin dan Jumaat di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang serta hari Ahad dan Khamis di Johor bagi memudahkan urusan pelanggan.
“Semua hari tersebut adalah dikategorikan sebagai ‘hari sesak atau sibuk’ dengan trend pelanggan yang tinggi.
“Pertambahan waktu operasi akan dilaksanakan secara berperingkat yang seterusnya akan melibatkan negeri yang lain,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, pihaknya akan menubuhkan satu Jawatankuasa Tadbir Urus yang berfokus bagi peningkatan kualiti JPJ terutamanya penyampaian kaunter bagi memantau, melihat dan menambah baik perkhidmatan kerajaan dari semasa ke semasa.
“JPJ komited dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik dan cekap demi menjamin kesejahteraan dan keselesaan kepada rakyat selaras dengan Aspirasi Malaysia Madani,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE