TELUK INTAN – Seramai enam individu yang menunggang motosikal secara berbahaya ditahan polis dalam Operasi Samseng Jalanan dan Operasi Khas Ekzos Bising di daerah Hilir Perak di Jalan Kilometer (KM) 43 Teluk Intan-Sitiawan di sini bermula pukul 11 malam semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, operasi itu dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik polis daerah Hilir Perak dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Pengkuatkuasaan Trafik Perak serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak.
Menurut beliau, operasi yang berakhir pada pukul 8.30 pagi hari ini itu menyaksikan sebanyak 150 buah motosikal, 21 buah motokar dan 211 orang berumur antara 13 dan 38 tahun diperiksa yang mana ia terdiri daripada 204 orang lelaki dan tujuh orang perempuan.
“Daripada keseluruhan individu yang diperiksa, sebilangannya terdiri daripada lapan orang pelajar sekolah menengah dan 10 orang pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
“Di bawah kesalahan trafik, seramai enam orang individu lelaki warga tempatan berumur 18 dan 21 tahun telah ditangkap atas kesalahan menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Ahmad Adnan, dalam operasi sama, sebanyak 42 motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 APJ 1987 dan 301 keping saman trafik dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Beliau berkata, di bawah kesalahan bunyi bising, pihak JAS Perak telah mengeluarkan sebanyak 15 keping kompaun kesalahan bunyi bising di bawah Perkara 4(2) Perkara Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987 dan 15 keping notis hadir ujian di bawah Seksyen 48A Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.
“Polis daerah Hilir Perak akan terus menjalankan operasi sebegini dari semasa ke semasa bagi memperkasakan lagi tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap samseng jalanan di daerah ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE