BREST – Pengendali Marseille, Roberto De Zerbi menghamburkan pujian terhadap penggempurnya, Mason Greenwood yang berjaya membuka akaun gol pada aksi debut bersama pasukan itu di Ligue 1 Perancis.
Bekas pemain Manchester United itu, berjaya menjaringkan dua gol ketika membantu Marseille menewaskan Brestois 5-1 di Stade Francis-Le Ble lewat malam kelmarin sekali gus memberi bayangan bahawa pasukan itu mampu menjadi pencabar terkuat gelaran musim ini.
Kemenangan itu juga cukup bermakna buat De Zerbi yang turut memulakan pengalamannya di Perancis selepas berhijrah dari Brighton dengan Luis Henrique turut meledak dua gol, manakala satu lagi gol dilengkapkan oleh Elye Wahi.
Greenwood yang melengkapkan perpindahan ke Stade Velodrome bukan lalu menghabiskan masa semusim di Getafe sebagai pemain pinjaman tidak menunggu lama apabila membuka tirai jaringan pada minit ketiga sebelum menyempurnakan penalti pada minit ke-31.
Keputusan itu menyaksikan Greenwood menjadi pemain ketiga Marseille yang meledak dua gol pada aksi debut selepas Dimitri Payet melakukan pada 2013 dan Luis Suarez menciptanya pada 2022.
“Mason Greenwood ada seorang pemain yang cukup berbeza. Dia memiliki tahap yang luar biasa. Saya gembira dia berjaya menjaringkan gol dan saya fikir apa yang dipamerkan akan melenyapkan segala kontroversi dihadapinya sebelum ini,” kata De Zerbi.
Musim lalu menyaksikan Marseille hanya menamatkan saingan Ligue 1 di kedudukan kelapan dan mereka cuba membuat perubahan dengan membawa masuk De Zerbi yang berjaya memulakan kerjayanya di Perancis dengan cukup baik.
“Kami memulakan musim dengan cukup sukar apabila perlu membina semula pasukan ini dari awal. Ia memberikan saya kepuasan terutama pada babak kedua aksi apabila pasukan menunjukkan kekuatan mental untuk meraih kemenangan ini,” jelasnya. – AGENSI