GOMBAK – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun ditemui maut dengan kesan kecederaan dipercayai didera di Bandar Tasik Puteri Rawang, di sini, semalam.
Siasatan mendapati terdapat kecederaan pada tubuh badan mangsa dipercayai dilakukan menggunakan tangan, kaki, tali pinggang, penyangkut baju, dan senjata tumpul.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 3.27 petang.
Katanya, pembantu pegawai perubatan Hospital Sungai Buloh mengesahkan mangsa meninggal dunia ketika berada di rumahnya.
“Pemeriksaan awal ke atas tubuh badan mangsa mendapati terdapat kesan kecederaan di bahagian muka, bibir, paha, dagu, dan lutut.
“Mayat telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Noor Ariffin, tangkapan berhubung kes tersebut turut dibuat membabitkan pasangan suami isteri tempatan di sebuah kediaman di Bandar Tasik Puteri, di sini, semalam.
“Tangkapan pada pukul 9 malam itu dibuat terhadap bapa tiri mangsa berusia 29 tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan dan ibu kandung mangsa berusia 28 tahun bekerja sebagai pembuat aiskrim,” katanya.
Menurutnya, semakan mendapati mangsa yang juga murid di sebuah sekolah tidak hadir sejak 24 Jun lalu.
Kata Noor Ariffin, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh.
“Jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau pemenjaraan bagi suatu tempoh yang tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika dijatuhkan hukuman mati, hendaklah dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali,” ujarnya.
Tambahnya, kedua-dua suspek telah dibenarkan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Sabtu hadapan untuk siasatan lanjut.
Justeru itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk berhubung terus dengan pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintenden Mohd Hamizan Mohamad Yunus di talian 013-8348384 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222.-KOSMO! ONLINE.