PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada calon Barisan Nasional (BN) yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri semalam.
“Alhamdulillah, tahniah saudara Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Barisan Nasional atas kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil Nenggiri semalam, sekali gus membuktikan rakyat Kelantan menerima kesepakatan yang terhasil menerusi gabungan Perpaduan,” jelasnya melalui satu hantaran di Facebook hari ini.
Tambah Anwar, kemenangan itu juga adalah penzahiran kepercayaan rakyat yang semakin menyesuaikan diri dengan gelombang perubahan di bawah Kerajaan Madani, selaras dengan petanda lonjakan ekonomi negara yang kian mekar sejak akhir-akhir ini.
“Insya-Allah, kemenangan ini menjadi suntikan moral untuk Kerajaan Madani tekal dalam usaha memelihara kebajikan rakyat dan menjulang kemakmuran negara ke tingkat tertinggi,” katanya.
Terdahulu, Mohd Azmawi atau lebih dikenali sebagai Awi, yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan, menang pada PRK DUN Nenggiri dengan majoriti besar 3,352 undi.
Beliau memperoleh 9,091 undi dan menewaskan pencabarnya calon Pas Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional yang meraih 5,739 undi. – KOSMO! ONLINE.